Berita
Perasmian Cawangan Aman Palestin Di Gaza
Gaza: Sabtu, 9 Januari 2010 - Aman Palestin dengan secara rasminya telah membuka cawangannya di Gaza hari ini. Walaubagaimanpun, operasi pejabat tersebut telah berjalan semenjak bulan Jun 2009 lagi. Dengan adanya cawangan ini diharapkan sedikit-sebanyak akan membuka lembaran baru dalam memberikan nafas kepada rakyat Palestin terutamanya di Semenanjung Gaza.

Sebelum ini, beberapa projek usahasama seperti Projek Bantuan Ternakan Bersepadu, Projek Pertanian di Nablus, Projek Pembukaan Mini Klinik, Projek Pembukaan Mini Market, serta Projek Pemasangan Anggota Palsu telah berjaya dibangunkan hasil dari sumbangan orangramai dan tidak ketinggalan juga dari kerajaan Malaysia.

Dalam pada itu, terdapat juga projek kekal serta bermusim, antaranya Projek Ramadhan (berbuka puasa, zakat serta hadiah Hari Raya) dan Projek Aidil Adha (pembahagian daging qurban serta sedeqah Qurban) yang sehingga kini mendapat tempat di hati para dermawan Malaysia. Sokongan yang kuat dari rakyat Malaysia yang terkenal dengan kemurahan hati ini benar-benar telah memberi kesan yang besar lagi mendalam kepada rakyat Palestin, lantas ianya telah menjadi penyebab untuk mereka terus cekal dalam mempertahankan bumi Palestin biarpun terpaksa berhadapan dengan musuh-musuh yang lengkap bersenjata.

Tidak dapat dinafikan juga bahawa adakalanya terdapat projek segera seperti bantuan kecemasan yang sememangnya memerlukan sumbangan secara terus-menerus dari masyarakat Malaysia. Ini disebabkan oleh keadaan darurat yang sering berlaku di Gaza, di mana pada 19 Januari 2009, contohnya, pihak Berkuasa Israel telah membuka empangan menyebabkan banjir besar berlaku di Gaza. Air mendadak naik setinggi 3 meter dan menyebabkan berlakunya kemusnahan rumah, jalanraya serta binatang ternakan. Ini telah menjadikan keadaan semakin bertambah buruk sepanjang musim sejuk kali ini. Tetapi, setakat ini hanya 5 orang sahaja yang tercedera.

Kedhaifan yang sedia ada dan ditambah pula dengan banjir yang melanda ini, tidak boleh tidak, terus menghimpit kehidupan rakyat Palestin. Ini memerlukan sokongan yang kuat lagi padu serta berterusan dari seluruh masyarakat Malaysia.

Pembukaan cawangan Aman Palestin di Semenanjung Gaza telah dirasmikan sendiri oleh ahli Parlimen Gaza, MP Gamal al-Khoudry dan MP Musyir al-Misri. Antara perkara utama dalam mewujudkan pejabat operasi Aman Palestin di Gaza ini ialah agar penyaluran sumbangan akan lebih telus serta memperlihatkan kesungguhan Aman Palestin membantu rakyat Palestin. Sehingga kini hanya 2 pertubuhan sahaja yang mempunyai pejabat operasi di Gaza iaitu IHH Insani dari Turki dan Aman Palestin Berhad dari Malaysia.


- lihat semua gambar yang berkaitan di sini -

 |  
 |  
Sila tunggu sebentar....