Berita
Pelarian Palestin di Lubnan merayakan Aidil Adha secara sederhana
Daripada Zulkifli Bujang
TYRE (Lubnan), Nov 27 -- Sekitar 400,000 orang Palestin yang berlindung di kem-kem pelarian di Lubnan, melupakan buat sementara waktu segala keperitan hidup untuk merayakan Aidil Adha secara sederhana Jumaat lalu.

Sebahagian besar rakyat Palestin, yang ditempatkan di 14 kem-kem pelarian berdaftar, menunaikan solat sunat Aidil Adha di sebuah masjid di dalam kem yang dibangunkan untuk mereka sementara sebahagiannya pula bersolat di masjid-masjid berdekatan.

Seorang sukarelawan Palestin, Wissam Tafesh, 30 menjelaskan bahawa menurut tradisi mereka, setelah bersolat mereka akan kembali ke rumah untuk menjamu selera bersama anggota keluarga masing-masing sebelum keluar secara beramai-ramai ke lorong-lorong dan jalan-jalan sambil memuji Keagungan ALLAH yang Maha Kuasa.

Menurut Wissam lagi, acara utama perayaan Aidil Adha adalah upacara korban (biri-biri) di mana daging akan diagihkan kepada keluarga-keluarga yang terlibat.

"Upacara korban akan dilakukan di beberapa lokasi tertentu di mana biri-biri merupakan haiwan utama yang digunakan bagi upacara tersebut," kata Wissam.

Wissam, yang berada di bawah persatuan Bantuan Kemanusiaan Bagi Kemajuan Masyarakat (HRDS) menyatakan binatang yang dikorbankan itu adalah sumbangan dari masyarakat perihatin serta organisasi bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia, Turki, Arab Saudi, Qatar dan Kuwait.

Aman Palestin, sebuah badan bukan kerajaan dari Malaysia, turut menyumbangkan USD 20,000 (RM 70,000) bagi tujuan korban melalui HRDS.

-- BERNAMA


- lihat semua gambar yang berkaitan di sini -

 |  
 |  
Sila tunggu sebentar....