Berita
Misi Gaza 2 Selamat Tiba
Misi Gaza kali ke 2 telah berjaya masuk ke Jalur Gaza pada 9 Ogos, 2010, bersama bantuan bernilai USD 150,000 yang berupa ubat-ubatan, susu bayi serta persediaan bagi menyambut Ramadhan untuk seluruh muslimin yang berada di bumi Gaza.

Untuk misi kali ini, seramai 2 orang pegawai Aman Palestin berserta 4 orang sukarelawan yang lain telah mengambil bahagian yang mana telah diketuai oleh Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman, Pengerusi Eksekutif Aman Palestin, dan mereka telah berjaya masuk ke Gaza melalui sempadan rafah dengan selamatnya.

Tanpa diduga, sambutan yang diberikan oleh rakyat Gaza terhadap deligasi kali ini adalah samasekali di luar jangkaan. Ternyata bantuan yang tidak pernah putus tiba dari Malaysia telah melunakkan hati mereka di Palestin yang bercampur-baur dengan perasaan terharu dan gembira. Rakyat Malaysia, bagi mereka, adalah umpama saudara dan rakan yang jauh di mata namun di hati tidak dilupa.

Selain dari menghantar bantuan kemanusiaan, delegasi ini juga akan dibawa melawati tapak-tapak projek Aman Palestin yang kini dilaksanakan di bumi Gaza bagi menyaksikan sendiri bagaimana projek-projek seperti ternakan bersepadu, klinik, supermarket dan kilang roti itu dijalankan.

Kesemua projek ini adalah merupakan hasil dari kemurahan hati dan sumbangan ikhlas rakyat Malaysia yang telah sekian lama menjadi rakan dan saudara yang sanggup bersusah-payah berkongsi kepayahan yang dialami oleh rakyat Palestin. Aman Palestin mewakili seluruh rakyat Palestin dalam mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh rakyat Malaysia dari kami di bumi Gaza.

Delegasi ini dijadualkan berangkat pulang pada 14 Ogos, 2010.


- lihat semua gambar yang berkaitan di sini -

 |  
 |  
Sila tunggu sebentar....