Berita
Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis (Kedah) - ROADSHOW 2010
Jitra, Kedah, 3hb April 2010 - Dewan Besar Institut Pendidikan Darul Aman (IPDA) telah menyaksikan satu program yang bersejarah anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kedah dan Aman Palestin pada 3hb April 2010. Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis yang buat julung kalinya berlangsung di PWTC pada Mei 2009 telah memulakan jelajahnya ke seluruh negara dengan destinasi pertamanya di negeri Jelapang Padi Malaysia.

Program yang berlangsung dari pagi hingga ke petang itu telah dihadiri oleh hampir 500 orang pelajar dari beberapa buah sekolah, maktab, kolej dan universiti di utara Malaysia. Menurut pihak penganjur, kehadiran seramai 500 orang itu bolehlah dianggap memberangsangkan dalam keadaan di mana beberapa IPT tempatan tidak dapat menghantar perwakilan dan pelajar/mahasiswa mereka disebabkan musim peperiksaan yang sedang bermula.

Konvensyen yang lebih dikenali sebagai KBAZ Utara - Roadshow 2010 ini telah dirasmikan oleh YBhg. Sahibus Samahah Dato' Muhamad Baderuddin Bin Haji Ahmad, Mufti negeri Kedah Darul Aman. Antara lain yang disampaikan oleh YBhg. Sahibus Samahah Mufti adalah tentang kewajipan umat Islam terhadap Baitul Maqdis dan rakyat Palestin yang begitu tabah menghadapi serangan bertubi-tubi dari regim Zionis Israel sejak hampir 70 tahun yang lalu. Beliau juga mengajak umat Islam menghulurkan bantuan kepada Baitul Maqdis dan umat Islam Palestin dalam apa cara yang mampu dilakukan mereka sebagai melaksanakan tanggungjawab keperihatinan terhadap saudara seagama.

Beberapa tokoh dan ahli akademik telah dijemput untuk membentangkan kertas kerja masing-masing di dalam Konvensyen ini. Antaranya adalah Dr. Roslan Bin Mohd Nor, Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Madya Dr Zainur Rashid Bin Zainuddin, Timbalan Dekan, International Medical University, Negeri Sembilan dan Saudara Said Al Ghora, Pensyarah Fakulti Perubatan, Universiti Islam Gaza yang kini sedang menyiapkan tesis PhD dalam Fakulti Perubatan, Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya.

Majlis Konvensyen yang bermula dari jam 8.00 pagi telah diselangselikan dengan beberapa tayangan multimedia dan juga persembahan nasyid istimewa dari kumpulan As Sofwah, Perlis. Majlis penutup telah disempurnakan oleh wakil ISMA Pusat merangkap Ketua Unit Pendidikan & Pembangunan Insan, Akademi Ikatan Muslimin Malaysia, Perak, yang berbahagia Ustaz Shaharuzzaman Bin Bistamam.


- lihat semua gambar yang berkaitan di sini -

 |  
 |  
Sila tunggu sebentar....