Salam Aidil Fitri 2024
Berita
Kesatuan umat Islam sebagai kunci utama dan penting pembebasan Al-Quds & Palestin
Bandung, 4 Julai 2012 - Konferens Antarabangsa Pembebasan Al-Quds & Palestin yang bersejarah ini telah dianjurkan oleh Aqsa Working Group (AWG) Indonesia selama dua hari pada 4 dan 5 Julai 2012 di Hotel Savoy Homann Bidakara, Bandung, sebuah hotel yang sangat bersejarah juga yang dibina pada 1939 dan pernah menyaksikan Konferens Asia-Afrika Pertama pada tahun 1955. Aman Palestin juga terlibat sebagai rakan kerjasama penganjuran konferens antarabangsa ini di mana Ust Awang Suffian Awang Piut telah terlibat sebagai Jawatankuasa Induk Penganjuran.

Delegasi Aman Palestin seramai lima orang yang telah diketuai oleh Ust Awang Suffian (CEO Aman Palestin Bhd) hadir ke konferens antarabangsa ini sebagai peserta mewakili negara Malaysia bersama delegasi-delegasi seramai sekurang-kurangnya 17 orang yang terdiri daripada Majlis Permuafakatan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Jil Solahuddin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), seorang wakil konsulat Malaysia ke Indonesia dan peserta-peserta perseorangan. Konferens antarabangsa ini telah dihadiri oleh para delegasi dari 10 negara termasuk Malaysia, Indonesia, Filipina, Palestin, Turki, Jordan, Nigeria, China, United Kingdom dan Sudan.

Hasil perbincangan dan pembentangan kertas-kertas kerja telah membawa kepada satu rumusan yang penting iaitu kesatuan seluruh umat Islam, menghentikan perbalahan sesama umat Islam dan usaha ke arah menegakkan khilafah Islamiah sebagai satu payung besar yang menaungi umat Islam sebagai kunci utama pembebasan Al-Quds & Palestin.

Kertas-kertas kerja yang telah dibentangkan adalah :

i) Kesatuan Umat Kunci Kejayaan Islam & Pembebasan Al-Quds oleh H. Muhyiddin Hamidy

ii) Ke Arah Palestin Merdeka oleh Fariz N. Mehdawi, Duta Besar Palestin ke Indonesia

iii) Peranan Indonesia Dalam Mendukung Perjuangan Kemerdekaan Palestin oleh Dr Marzuki Ali, Ketua DPR Republik Indonesia

iv) Sikap Dunia Terhadap Penjajahan Israel oleh Prof Dr Daud Abdullah, Pengarah Middle East Monitor (MEMO)

v) Kebangkitan Islam dan Pengaruhnya dalam Perjuangan Pembebasan Al-Quds & Palestin oleh Dr Ali Panda (Pensyarah Universiti Mindanao, Filipina)

vi) Urgensi Kesatuan Umat dalam Rangka Pembebasan Al-Aqsa dari Cengkaman Zionis oleh Dr. Yakhsyallah Mansur, Penasihat Aqsa Working Group (AWG) Indonesia

vii) Pembebasan Palestin - Al-Quds Berdasarkan Kenyataan Sejarah oleh Dr Aly Omar Ya'qub Abbasi, Imam & Khatib Masjid Al-Aqsa

viii) Tanggungjawab Umat Islam dalam Pembebasan Al-Quds dan Kemerdekaan Palestin oleh Dr Mogtaba Ahmad Ali Bannga (Sudan), Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

ix) Jalan Menuju Pembebasan Al-Quds & Palestin oleh Dr Mahmoud Hasyim Anbar, Associate Professor Bahagian Tafsir & 'Ulum Al-Quran, Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Gaza

x) Masyarakat Dunia Bergerak Bersama Untuk Pembebasan Al-Quds & Palestin (Perkongsian Pengalaman Perarakan Antarabangsa ke Jerusalem) oleh Dr Ribhi Haloum, Koordinator Global March to Jerusalem

xi) Problematika Rasis di Negara Palestin oleh Prof Dr M. Abdurrahman, Pengerusi PERSIS

xii) Perkongsian Pengalaman : IHH Menyatukan Dunia oleh Omer Kesmen, Presiden IHH

xiii) Khilafah Sebagai Kunci Pembebasan Al-Quds & Palestin oleh Dr Abdul Halim Abdul Hamid, Pensyarah Universiti Multimedia, Malaysia

Di akhir konferens, 3 orang wakil Malaysia termasuk Ust Awang Suffian dari Aman Palestin, Dr. Rahimah Embong dari PERKIM dan Dr Abdul Halim Abdul Hamid Universiti Multimedia bersama tujuh orang tokoh peserta konferens dari negara lain lagi terlibat sebagai tim pemutus resolusi-resolusi konferens antarabangsa ini.

Rombongan delegasi Aman Palestin telah turut disertai oleh Ust Salman Abdul Rahman (Eksekutif Pemasaran), Puan Fauzia Osman (Eksekutif Pembangunan Produk), Cik Noramenadia Mohd Nor (Eksekutif Sumber Manusia) dan Encik Mohd Nor Nahar (Sukarelawan).


- lihat semua gambar yang berkaitan di sini -

 |  
 |  
Sila tunggu sebentar....