Salam Aidil Fitri 2024
Berita
Jelajah Bermotor SAJH "Bersamamu Gaza IV"
Aman Palestin Berhad menerusi cawangannya di Johor terus mendapat sambutan hangat dari penduduk setempat, ini dapat dilihat dengan kejayaan mereka mengadakan program "Jelajah Bermotor SAJH Bersamamu Gaza kali ke-4".

"Program seperti ini telah diadakan pada setiap tahun dan pada tahun ini penyertaan adalah diluar dugaan serta kesungguhan yang ditunjukkan oleh para peserta adalah begitu ketara sekali dengan menyaksikan peningkatan dari segi jumlah penyertaan", demikian menurut Pn. Norlia bt. Mohd Ali, selaku YDP Badan Kebajikan Kluang yang juga penaung program jelajah pada tahun ini.

Pada tahun pertama ianya dilancarkan hampir 50 orang peserta sahaja telah mengambil bahagian tetapi pada tahun ini lebih dari 300 orang peserta menyertainya di mana 266 dari mereka adalah pemilik motosikal berkuasa tinggi dan sederhana.

"Kita menyasarkan RM 50 ribu dan, al-hamdulillah, kita berjaya menguitp lebih dari RM 37 ribu," katanya semasa majlis kemuncak yang diadakan di Tanjung Piai.

Program bermula pada jam 7:30 pagi, dengan majlis pelancaran disempurnakan di Kluang Mall, Kluang, oleh Y.B. Md. Jais Sardi (Ahli Dewan Undangan Negeri Dun Mahkota) dan kemudiannya para peserta memulakan jelajah ke beberapa buah destinasi yang telah ditetapkan bagi mengutip derma.

Pada jam 12.00 tengahari, mereka tiba di Ibu Pejabat SAJH untuk berehat sebelum bergerak ke Masjid Kg. Pasir di mana mereka sempat bertemu dengan Kadi Johor Bahru serta mengadakan sesi ucapan dan doa yang telah disempurnakan oleh Kadi berkenaan. Konvoi tersebut seterusnya menyambung perjalanan ke Pontian dan setibanya mereka di Stadium Mini Pontian, mereka sempat beramah mesra dengan Y.B. Dato Ahmad Mazlan, Ahli Parlimen Kawasan Pontian, yang juga merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, serta menyerahkan Tabung Gaza kepada wakil Aman Palestin di sana.

Pada sebelah petangnya ahli konvoi terbabit meneruskan jelajah mereka ke destinasi terakhir iaitu Tanjung Piai dan di sana mereka telah disambut oleh Dato' Hj. Jefriden Hj. Atan sebelum berkumpul dan berehat di Resort Tanjung Piai, Pontian.

Majlis kemuncak diadakan pada sebelah malamnya bersama Y.B. Dato' Hj. Md. Othman Yusuf, Adun Kawasan Kukup, di mana Pengerusi Eksekutif Aman Palestin Berhad, Abdullah Zaik Abdul Rahman, menyampaikan ucapannya serta menyerahkan sijil dan cenderahati kepada para peserta.

Aman Palestin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peserta yang telah bersungguh-sungguh menjayakan misi ini, serta para penyumbang, dermawan dan sukarelawan yang telah bertungkus-lumus menjayakan program tersebut.


- lihat semua gambar yang berkaitan di sini -

 |  
 |  
Sila tunggu sebentar....