Berita
Bantuan Kecemasan Mangsa Banjir Di Wilayah al-Mughraga
Gaza: 8 Februari 2010 - Aman Palestin telah melaksanakan kempen bantuan membantu mangsa banjir di Wilayah al-Mughraga. Bantuan tersebut telah berjaya dilaksanakan sebagai sokongan padu rakyat Malaysia terhadap mangsa kekejaman Israel.

Sebelum itu, Yahudi terus melakukan jenayah perang apabila memecahkan empangan yang berhampiran dengan kampung penempatan rakyat Gaza di Wilayah Hajr Deik dan al-Mughraga. Akibatnya, air yang mengalir dengan deras sehingga ke paras 3 meter telah membanjiri serta memusnahkan penempatan dan tanah-tanah pertanian rakyat Gaza. Seramai 150 keluarga kehilangan tempat tinggal tanpa sebarang kelengkapan yang cukup.

Keadaan bertambah buruk apabila musim sejuk melanda wilayah itu ketika ini. Tindakan kejam tentera Yahudi ini turut mengakibatkan ratusan hektar tanah pertanian yang menjadi punca pendapatan rakyat Gaza musnah dan kebanyakkan ternakan mereka tidak dapat diselamatkan.

Buat masa kini, Aman Palestin Gaza telah menyediakan USD10 ribu untuk membantu keluarga yang terlibat bagi meringankan beban mereka. Pengarah Eksekutif Aman Palestin Gaza, Dr. Omar Seyam berkata "Aman Palestin bertanggungjawab menjaga kebajikan mangsa-mangsa kekejaman Yahudi, di mana ratusan keluarga terpaksa hidup melarat bilamana tempat-tempat tinggal serta ternakan mereka telah musnah sama sekali."

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Aman Palestin Malaysia, Abdullah Zaik Abd. Rahman berkata, "Aman Palestin sentiasa berdiri bersama rakyat Palestin serta berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat agar kehidupan rakyat Palestin benar-benar terbela serta mengembalikan hak-hak mereka yang dirampas, Aman Palestin dengan sokongan rakyat Malaysia akan memberikan sokongan dan bantuan segera kepada mangsa banjir di dua wilayah yang terjejas teruk itu."


- lihat semua gambar yang berkaitan di sini -

 |  
 |  
Sila tunggu sebentar....