Berita
Aman Palestin di Melbourne
Melbourne, 9 Oktober - Isu Palestin merupakan isu perdana dan harus dititikberatkan oleh umat Islam seluruh dunia tanpa mengira sempadan geografi. Di atas kesedaran ini, ISMA-Australia cawangan Victoria (ISMA-Aus Vic) dengan kerjasama Aman Palestin telah menganjurkan seminar bertajuk "Seminar Palestin - Kami Bersamamu".

Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Zainuddin yang merupakan perunding Aman Palestin telah dijemput khas untuk menyampaikan pembentangan pada seminar yang dihadiri oleh 100 orang siswa-siswi Malaysia di Melbourne.

Dalam seminar yang berlangsung sepanjang siang, para peserta dibentangkan secara terperinci mengenai sejarah Palestin serta kepentingannya kepada umat Islam.

Peserta juga dikejutkan dengan pendedahan mengenai "pengYahudian Al-Aqsa" yang sedang pesat dilakukan oleh Zionis di Israel, suatu fakta yang pastinya tidak ditemui di media massa.

Pada penghujung seminar, para peserta telah ditanya mengenai resolusi dan peranan sebagai saudara Muslim yang prihatin dan ingin melihat Palestin kembali ke tangan umat Islam.

Melalui pemahaman yang diperoleh daripada pembentangan tersebut, para peserta berjaya tampil dengan 20 resolusi. Antaranya termasuk memperbaiki diri sendiri, memboikot produk keluaran Israel dan sekutu-sekutunya, sentiasa mengambil tahu perkembangan isu Palestin, menyampaikan isu Palestin kepada masyarakat melalui pelbagai medium, mendoakan untuk kebebasan Palestin dan menjauhi maksiat dan dosa yang boleh melemahkan jiwa.

Seminar Palestin ini bukanlah pertama kalinya diadakan di Melbourne. Malah saban tahun ISMA-Aus Vic pasti akan menganjurkan pelbagai bentuk program bagi meningkatkan kesedaran pelajar Muslim di Melbourne mengenai isu-isu Palestin. Setiap kali seminar diadakan, banyak perkara baru dapat dipelajari.

Semoga melalui seminar tersebut, peserta akan sedar bahawa isu Palestin bukanlah isu yang bermusim. Selagi Palestin belum kembali ke tangan umat Islam, selagi itulah isu ini harus diperjuangkan melalui resolusi-resolusi yang telah disebutkan.


- lihat semua gambar yang berkaitan di sini -

 |  
 |  
Sila tunggu sebentar....