Berita
Aktiviti Delegasi Misi Gaza 2
Gaza, 12 Ogos 2010 - Kandungan kargo Misi Gaza 2 kini mulai memasuki fasa pengagihan. 13 badan kebajikan di Gaza akan menerima sumbangan susu bagi diagihkan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan bantuan.

Sementara itu, ahli-ahli delegasi pula telah mula mengorak langkah dalam memenuhi jadual aktiviti yang telah ditetapkan sebelum mereka berangkat pulang ke Malaysia pada 14 Ogos ini. Mereka telah berkesempatan melawat Gudang Aman Palestin di mana segala bantuan yang tiba dari Malaysia disimpan sementara menantikan proses pengagihan kepada rakyat Palestin yang layak menerima sumbangan.

Di samping itu, mereka juga telah dibawa melawat Hospital Besar Gaza bagi melihat sendiri keadaan dan perjalanan proses perubatan yang berjalan dalam situasi tertekan bilamana Gaza masih menghadapi sekatan dari pihak Zionis Israel. Sambil itu mereka telah menyerahkan sumbangan ubat-ubatan yang dibawa bersama dalam misi kali ini.

Dato Aziz, Pengerusi Putera 1 Malaysia yang juga merupakan salah seorang dari ahli delegasi ini, telah dibawa melawat pejabat Aman Palestin Gaza bagi mengetahui lebih lanjut lagi fungsi cawangan Aman Palestin di bumi Gaza itu sebagai unjuran yang berkesan bagi Aman Palestin Berhad. Selain Dato Aziz, pejabat Aman Palestin Gaza juga telah dikunjungi oleh Datuk Bandar Bait Lahya.

Mereka juga telah sempat meluangkan masa bagi berbuka puasa bersama seramai 200 orang anak yatim dan ahli keluarga miskin Palestin serta membahagikan hadiah kepada mereka. Program ini diadakan dengan kerjasama Badan Kebajikan Anak Yatim al-Amal di Gaza, yang berakhir dengan solat maghrib secara berjemaah bersama anak-anak yatim Palestin tersebut.


- lihat semua gambar yang berkaitan di sini -

 |  
 |  
Sila tunggu sebentar....