Salam Aidil Fitri 2024
Berita
#HariIninDalamSejarah | 101 Tahun Deklarasi Balfour
2 November 1917 merupakan tarikh termeterainya Deklarasi Balfour yang secara terang-terangan memperlihatkan penubuhan negara Yahudi di Palestin. Deklarasi Balfour merupakan sepucuk surat yang menyatakan sokongan kerajaan British tentang pembentukan negara Yahudi di tanah Palestin. Surat sokongan itu dihantar oleh Menteri Luar British ketika itu, Arthur James Balfour kepada pemimpin Yahudi di Britain yang juga merupakan tokoh Zionis, Lord Baron Lionel Walter Rothschild untuk diserahkan kepada Pertubuhan Zionis.

Surat tersebut tersebut telah dipersetujui oleh kabinet British dengan menyatakan sokongan penuh kepada pembentukan negara Yahudi di tanah Palestin dan mereka akan memberi bantuan kepada rejim Zionis untuk merealisasikan impian dan harapan mereka. Selepas Perang Dunia Pertama, pengaruh Deklarasi Balfour boleh dilihat apabila pentadbiran sementara Palestin diserahkan kepada British berdasarkan sistem "mandat".

Melalui sistem mandat ini, British mempunyai peluang menyeluruh untuk membantu gerakan zionis menubuhkan negara Israel. Pada peringkat awal, langkah yang telah British lakukan ialah dengan menggalakkan kemasukan beramai-ramai imigran yahudi ke Palestin walaupun sebelum ini gerakan kemasukan beramai-ramai itu telah berlaku secara senyap. Pada 1 Julai 1920, kemasukan pendatang haram Yahudi dari Eropah ini telah dilaksanakan dengan lebih sistematik dengan penggubalan undang-undang pemerintahan awam.

Sokongan kuat Britain terhadap gerakan Zionis ini menjadi permulaan kepada musibah terbesar bagi seluruh masyarakat Arab dan penduduk Palestin khususnya. Pembunuhan, pengusiran dan penganiayaan ke atas rakyat Palestin dari dahulu sehingga ke saat ini merupakan kekejaman yang jelas di mata seluruh dunia kerana Israel menubuhkan sebuah negara haram di atas bumi Palestin dengan mengorbankan ramai nyawa rakyat Palestin.

Perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin dalam kalangan rakyat Palestin tidak pernah terhenti. Usaha demi usaha dilakukan walaupun mereka berjuang tanpa senjata tetapi mereka sentiasa mencabar negara haram Israel setiap hari bahawa mereka merupakan bangsa yang berhak ke atas Palestin. Sokongan dunia cuba diraih untuk turut bersama-sama dalam perjuangan bagi merampas kembali bumi Palestin, namun kesatuan itu masih belum cukup kerana kekuasaan Israel bersama sekutunya sangat luar biasa.

Namun begitu, perjuangan ini memerlukan akidah dan iman yang kuat untuk terus berjuang mempertahankan Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa Islam merupakan sebuah empayar yang amat hebat dan mereka yang mengambil pengajaran daripada kehebatan Islam terdahulu, nescaya Islam akan kembali berkuasa.

Perjuangan untuk membebaskan Palestin merupakan perjuangan bersama, begitu juga dengan kemenangan yang ingin dicapai adalah kemenangan bersama.

#AmanPalestin
 |  
 |  
Sila tunggu sebentar....