Artikel
Sekatan Yang Dilupakan- Ibn Abu -



 
Aset gas asli di Laut Mediterranean telah lama memainkan peranan penting dalam politik serantau; oleh itu mudah untuk kita mengetahui mengapa ianya terus mendapat perhatian media. Namun, hairannya, hanya segelintir sahaja yang menyebut Gaza dalam konteks ini.

Mengapa harus mereka menyebutnya? Gaza adalah sebuah jalur pesisiran pantai yang kecil dan padat dihuni serta terasing, dari segi geografi dan juga ekonomi, dari seluruh kawasan Palestin yang dijajah. Di sini, sekatan Israel ke atas wilayah berkenaan telah menyebabkan terputusnya bekalan makanan dan bahan api secara berterusan. Penduduk Gaza mengalami ketiadaan letrik pada setiap hari, yang kadang-kadangnya berlanjutan sehingga 18 jam. Kebanyakan gas yang digunakan di Gaza sejak 2011 adalah hasil import pada kadar harga yang tinggi dari Mesir melalui sempadan Rafah. Ini adalah satu beban yang besar bagi sebuah ekonomi yang tenat serta bergantung kepada bantuan asing.

Apa yang berbeza dari kemiskinan penduduk Gaza ialah rizab gas yang kaya di wilayah Palestin. Tiga puluh enam batu dari tanah besar terdiri sebuah pelantar minyak yang dinamakan 'Gaza Marine 1' , yang mana di bawahnya tersimpan perbendaharaan milik Gaza: beberapa medan gas yang luas yang dianggarkan oleh syarikat British Gas bernilai kira-kira 7 bilion dolar Amerika. Namun gas terbabit tidak pernah meninggalkan dasar laut dan keuntungan yang sepatutnya diraih hanyalah menjadi sebuah ilusi. Mengapa begini?

Medan-medan gas ini ditemui pada pertengahan dekad sembilan belas sembilan puluhan oleh salah sebuah syarikat gas terkemuka di dunia, British Gas (BG), yang mana pada masa itu sedang beroperasi di Sinai. Pada tahun 1999, perjanjian Gaza telah ditandatangani, yang menganugerahkan British Gas bahagian terbesar dalam lesen penerokaan berkenaan. Perjanjian itu juga akan menguntungkan rakyat Palestin melalui cukai dan royalti. BG menganggarkan bagi 800 juta dolar yang dilaburkan akan menjana lebih dari empat bilion dolar, pulangan yang melebihi empat ratus peratus.

Projek ini berjalan lancar pada mulanya. Antara tahun 2000 dan 2002 BG telah menghabiskan lebihkurang 100 juta dolar untuk proses penggerudian dan kajian. Namun, terdapat hanya satu halangan: Israel.

Ahli-ahli politik Israel menyedari risiko yang muncul akibat kehadiran gas tersebut yang mampu menyukarkan segala usaha mereka untuk menjajah Palestin pada masa-masa akan datang. Mereka berpendapat selagi Gaza dibiarkan miskin dan bergantung dari segi ekonomi kepada bantuan antarabangsa, ianya akan turut lemah dalam bidang politik.

Oleh itu Israel mendakwa oleh kerana Pihak Berkuasa Palestin gagal untuk memastikan wujudnya keselamatan dalam pembinaan penting berkaitan dengan penyedutan gas, sebuah talian paip akan dibina dari kawasan medan gas berkaitan terus ke pelabuhan Israel. Para pegawai rasmi Palestin serta-merta menolak cadangan ini kerana ia akan menghalang penduduk Gaza dari mengaut keuntungan hasil dari penyedutan gas milik mereka sendiri.

Oleh kerana Israel juga akan menjadi pembeli utama gas Gaza, ia mampu menghalang penerokaan ini dengan cara lain. Semasa rundingan harga dengan BG, Israel menegaskan yang ia hanya akan membeli gas milik Gaza sekiranya dijual pada kadar harga hampir tiga kali ganda lebih rendah dari harga pasaran biasa pada masa itu. Disebabkan keuntungan akan menjadi jauh lebih rendah daripada yang dijangkakan sebelum ini, BG akhirnya mengambil keputusan untuk menghentikan rundingan dengan Israel pada tahun 2007.

Sebaliknya, BG mula mencari di tempat lain pula bagi mendapatkan pembeli yang berpotensi. Dengan menukarkan gas yang diekstrak kepada gas asli cecair (LNG), BG bakal mempunyai akses kepada pasaran yang lebih besar di Jepun dan Korea.

Walau bagaimanapun, halangan Israel berterusan. Kali ini pihak berkuasa Israel pula mendakwa yang aktiviti penggalian itu hanya boleh dilakukan dengan kelulusan mereka. Bagaimanapun, menurut undang-undang antarabangsa, ini adalah tidak benar samasekali. Selaras dengan perjanjian Oslo pada tahun 1993, wilayah Palestin berhak ke atas perairannya sendiri menurut perjanjian antarabangsa. Undang-Undang Laut bagi Konvensyen PBB dari tahun 1982 menjelaskan yang negara-negara yang bersempadankan laut mempunyai hak terhadap sebuah zon ekonomi eksklusif yang merangkumi kawasan sejauh 200 batu nautika (kira-kira 370 km) dari pantai. Menurut konvensyen berkenaan, "sebuah negara yang berpantai mempunyai kuasa penuh ke atas sumber-sumber ekonomi di sekitar zon ekonomi eksklusifnya. "

Biarpun tuntutan-tuntutan Israel menyalahi undang-undang, tiada apa yang boleh dilakukan dalam hal ini dan BG kini tidak lagi mengusahakan projek ini. Rizab gas yang belum diterokai ini adalah satu lagi peluang ekonomi yang hilang untuk Gaza, yang mana ekonominya telah hancur akibat pengepungan yang dikenakan oleh Israel selepas berlakunya pengambilalihan kuasa oleh Hamas pada tahun 2006.

Hari ini, gas terbabit masih kekal terperangkap 600m di bawah paras laut, tersembunyi dari rakyat Palestin, dan inilah apa yang Israel mahukan.



 
Sumber: Jane Smith - IMEMC News & Agencies   |   Catatan: Ibn Abu   |   27 Mac 2014
 |  
 |  
Sila tunggu sebentar....