Artikel
Menyingkap Serangan Israel Ke Atas Gaza
Apa yang berlaku ke atas Gaza sekarang ini adalah siri kezaliman rejim zionis yang telah bermula pada 28 September 2000 apabila kerajaan penjajah Zionis mengisytiharkan sekatan ke atas Gaza kerana ia merupakan kubu kuat pemimpin HAMAS.




Bagi merealisasikan rancangan tersebut, penjajah Zionis telah menutup sempadan perhubungan antara Gaza dengan Tebing Barat sepenuhnya. Pihak Zionis juga menyekat pemberian wang cukai yang merupakan hak kerajaan Palestin. Bagi menyempurnakan lagi sekatan, Zionis telah meruntuhkan Pelabuhan Gaza.

Dasar FATAH yang mengiktiraf Israel amat disenangi oleh Israel, Amerika dan sekutunya berbanding dengan HAMAS yang sama sekali tidak mengiktiraf penjajahan yang dilakukan oleh Israel di bumi Palestin. Pihak pengurusan Amerika dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas (FATAH) bersepakat dan bersetuju merancangkan satu tindakan untuk menjatuhkan kerajaan HAMAS di Gaza. Antara plan tindakan yang telah disepaki kedua-kedua pihak ialah menghapuskan Kerajaan Campuran anjuran Mekah dan mengumumkan darurat, memisahkan Gaza dengan Tebing Barat, memberikan cukai kepada Abbas yang akan digunakannya untuk membangunkan Tebing Barat di samping Amerika menyakinkan Israel untuk memperbaiki keadaan di Tebing Barat supaya rakyat Palestin di Gaza merasai keadaan mereka semakin teruk di bawah penguasaan HAMAS. Satu tindakan yang boleh membawa rakyat Palestin menentang HAMAS dan belot terhadapnya. Sekatan keseluruhan ke atas Gaza dilakukan oleh Zionis. Semua sempadan yang menghubungi Gaza ditutup. Tindakan ini merupakan satu usaha menghukum penduduk Gaza yang berjumlah lebih kurang 1.5 juta orang dan siri membalas dendam Zionis yang berterusan ke atas rakyat Palestin.

Awal 2008 menyaksikan siri pembunuhan berterusan oleh rejim Zionis. Dalam tempoh tiga bulan (Januari, Februari dan Mac 2008) seramai 300 orang rakyat Palestin gugur syahid. 112 daripadanya adalah dari Gaza. Pada bulan Jun 2008, bermula perjanjian damai yang ditaja oleh Mesir dengan sokongan FATAH dan Israel. Pihak Zionis bersetuju menghentikan semua bentuk serangan ketenteraan di Gaza selama 6 bulan mengikut yang disepakati oleh pihak Palestin yang bermesyuarat di Kaherah.

18 Disember 2008:
Pihak Mesir dengan sokongan Fatah dan Israel mahu terus menyambung tempoh perjanjian damai namun kerajaan Palestin yang sah di bawah pimpinan HAMAS tidak bersetuju kerana beberapa sebab antaranya:
  • Selama enam bulan tempoh perjanjian damai (Jun - Disember 2008), sekatan ke atas Gaza masih berterusan dan sempadan terus ditutup sedangkan mengikut perjanjian semua sekatan akan dibuka dalam tempoh gencatan.

  • Serangan ke atas penduduk Palestin terus dilancarkan oleh Israel. Ramai rakyat Palestin mati dalam tempoh perjanjian damai tersebut.

  • Perjanjian damai tidak menguntungkan rakyat Palestin dan hanya memberi keamanan kepada Israel yang sentiasa mencabuli perjanjian tersebut.

  • Perjanjian damai tajaan Mesir dengan sokongan Fatah dan Israel hanyalah satu helah untuk melemahkan kerajaan HAMAS apabila sempadan terus ditutup dan serangan masih dilancarkan ke Gaza dan Tebing Barat.

Pemimpin HAMAS mengumumkan tamatnya perjanjian damai. Keesokan harinya bermula serangan rejim Zionis ke atas Gaza.

27 Disember 2008:
Israel melancarkan serangan udara yang membunuh 229 penduduk Gaza.

28 Disember 2008:
Serangan udara Israel memusnahkan bangunan makmal di Universiti Islam Gaza yang merupakan simbol kerajaan HAMAS.

1 Januari 2009:
Serangan bom Israel membunuh pemimpin kanan HAMAS, Nizar Rayan di Jabalia, Gaza.

2 Januari 2008:
Serangan udara ke atas masjid menyebabkan 11 orang rakyat Palestin syahid.

4 Januari 2008:



Lima orang awam Palestin syahid apabila terkena bedilan meriam Israel. Sehingga kini angka syahid melebihi 524 nyawa, 120 kanak-kanak dan 50 wanita. Jumlah yang tercedera pula melibatkan seramai 2500 orang yang tidak berdosa. Sekatan di pintu sempadan Mesir-Rafah menyebabkan bantuan makin sukar disalurkan dan menambahkan lagi kepayahan penduduk di Gaza.

7 Januari 2008:
Jumlah angka syahid bertambah kepada 635 orang dan tercedera seramai 2900 orang. Perkhidmatan ambulan hampir lumpuh disebabkan peningkatan operasi ketenteraan di Gaza. Hospital-hospital telah kehabisan vaksin dan bekalan darah. Sekurang-kurangnya dua buah hospital kehabisan bahan api untuk menghidupkan generator elektrik. Bakalan air bersih juga semakin berkurangan kerana banyak telaga musnah dibedil rejim Zionis.

8 Januari 2009:
773 syahid separuh darinya kanak-kanak dan wanita dan lebih dari 3250 cedera mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr. Muawiyah Hasanain, Pengarah Jabatan Ambulan dan Kecemasan, Kementerian Kesihatan. Ambulan dan pasukan penyelamat tidak dapat memasuki tempat-tempat tragedi kerana ancaman serangan Israel dan serangan yang dilancarkan sehingga membawa kepada syahidnya mereka yang memberi bantuan.

Zionis telah mensasarkan serangan samada serangan darat, laut dan udara terhadap rumah-rumah penduduk Palestin, sekolah-sekolah yang dibawah PBB. Sebagaimana jet-jet Israel telah mengebom masjid-masjid dan memusnahkan 15 buah masjid di segenap pelusuk Gaza.

Selain angka gugur syahid yang meningkat Dr. Basim Naim, Menteri Kesihatan Palestin menegaskan semenjak serangan yang bermula 27 Disember 2008, terdapat 450 orang berada dalam keadaan parah. Menurutnya lagi, ubat-ubatan telah kehabisan. Terdapat 105 jenis ubat langsung tidak ada dalam simpanan dan 225 jenis peralatan kesihatan juga kehabisan dan 93 bahan khas untuk ujian juga kehabisan. 50% kereta ambulan tidak dapat beroperasi akibat sekatan dan keadaan di Gaza amat memerlukan sangat penjana elektrik.

9 Januari 2009:
Briged Sayap Tentera Al-Qassam telah menawan seorang tentera Yahudi dan telah meletaknya di sebuah rumah. Jet pejuang penjajah Zionis telah menyerang rumah tersebut sehingga mengorbankan tawanan zionis itu.

Selepas resolusi PBB dikeluarkan supaya menghentikan serangan ke atas Gaza, Menteri Luar Zionis menegaskan: "Israel telah berusaha, akan berusaha dan terus berusaha mengikut kepentingan keamanan Israel dan penduduknya dan mengikut haknya untuk mempertahankan diri." Naib Ketua Menteri Israel pula menegaskan selepas resilusi PBB dikeluarkan supaya serangan ke atas Gaza dihentikan: "Sesungguhnya PBB sekarang ini sudah menjadi jurucakap kepada HAMAS dan Ismail Haniyyah". Semua ini menunjukkan resolusi PBB tersebut tidak akan diikuti oleh Israel dan serangan ke atas Gaza akan berterusan.

10 Januari 2009:
Seramai 39 doktor dari Mesir dan Negara Arab lain berjaya memasuki Gaza bagi memberi bantuan yang sewajarnya.

Amerika Syarikat telah menyewa satu kapal pada akhir bulan Disember 2008 bagi memindahkan beribu-ribu tan senjata dari Yunan ke Israel. Tentera Laut Amerika menyebut dalam dokumen yang disiarkannya bahawa kapal tersebut membawa senjata dan bahan-bahan letupan dalam dua pelayaran yang akan sampai kali pertama pada 25 Januari 2009 dan kali kedua pada akhir bulan ini.

11 Januari 2009:
Sebanyak 11 buah lori telah berjaya masuk ke Gaza membawa ubat-ubatan dan keperluan hospital yang lain. Ir. Alauddin Al-Battoh menambah sebanyak 5 buah ambulan hasil sumbangan dari Algeria, Libya, dan Persatuan Doktor Arab telah dihantar ke Gaza. Setakat ini lori-lori yang membawa bahan makanan masih tidak dapat memasuki Gaza. Oleh itu, pihak berkuasa Mesir diminta membuka sempadan Rafah secara berterusan bagi memasukkan bahan-bahan makanan ke sana.

Mantan Menteri Pendidikan Negara haram Israel, Syoulmet Alony telah menuduh tentera Israel membunuh dengan sengaja kanak-kanak, wanita dan orang awam di Gaza. Beliau menegaskan dari perancangan serangan dan pelaksanaannya dengan jelas menunjukkan tentera Israel mahu menambah bilangan mereka yang terbunuh dari kalangan orang awam. Sebagai contohnya ahli keluarga As-Samuniy seramai 70 rang yang tinggal di Gaza telah dikepung dalam sebuah rumah selama dua hari. Apabila dua dari ahli keluarga tersebut keluar mahu membeli makanan dan air, tentera Israel telah menembak keduanya walapun mereka sudah tahu kedua-duanya tidak memiliki sebarang senjata dan bukannya pejuang HAMAS. Kemudian sebuah jet pejuang Zionis telah mengebom rumah tersebut, 23 orang terkorban dan 27 orang yang lain cedera parah. Mereka yang masih hidup telah ditawan oleh tentera Israel.

Walaupun maklumat dari pihak Zionis sukar didapati dan terputus, namun bilangan roket dari pejuang Palestin telah dilancarkan ke negara haram Zionis sehingga 11 Januari 2009 sebanyak 683 roket dan serangan. Briged Sayap Tentera Al-Qassam telah melancarkan roket terhadap Kem Tentera Udara Zionis "Balmakhim" yang terletak 50 km dari Gaza. Kem tentera tersebut merupakan tempat simpanan roket-roket "Patriot" dan "Hets Zionis".

Media Massa Zionis menegaskan seramai 4 orang yahudi telah terbunuh dan 53 orang telah cedera dan paling kurang enam orang darinya berada dalam kritikal. Sekarang ini lebih dari 1000 yahudi tercedera.

12 Januari 2009:
Doktor Muawiyah Hasanain, Pengurus Ambulan dan Keemasan menegaskan, 12 Januari menyaksikan syahidnya Doktor Isa Soleh selepas tentera Zionis mensasarkan serangan terhadap kereta ambulan yang sedang menuju untuk menyelamatkan mereka yang cedera selepas serangan Zionis di penempatan Palestin di bandar Jabalia, Palestin. Dengan syahidnya Doktor Isa menjadikan bilangan doktor yang telah syahid ialah seramai 13 orang, yang cedera 32 orang, 15 buah kereta ambulan telah musnah dalam tempoh 17 hari serangan. Beliau juga memberitahu jumlah syahid pada hari ke 17 serangan ialah 27 orang dari pelbagai tempat sekitar Gaza menjadikan angka keseluruhan syahid setakat ini ialah 917 orang kebanyakannya kanak-kanak, wanita dan orang tua. Sementara yang cedera pula ialah 4300 orang, 55% darinya dari kalangan wanita dan kanak-kanak.

14 Januari 2009:
Pihak tentera Israel melaporkan tidak kurang dari 10 orang tentera Zionis tercedera. Antara tentera yang cedera ialah Ketua Briged 101. Setakat ini seramai 11 tentera Zionis telah terkorban dan lebih dari 150 orang tercedera.

15 Januari 2009:
Serangan Zionis secara berterusan semenjak 19 hari lepas telah mengorbankan lebih dari 1055 rakyat Palestin dan seranai 5000 orang tercedera, 400 darinya cedera parah, 1500 orang kanak-kanak dan 700 orang wanita. Menurut Doktor Muawiyah Hasanain, Pengurus Am Bahagian Ambulan dan Kecemasan, bilangan syahid setakat ini meningkat kepada 1055 orang; 333 orang darinya terdiri dari kanak-kanak dan 95 orang darinya adalah kaum wanita dan selebihnya kebanyakannya orang awam.





Pejuang Palestin telah berjaya melancarkan roket ke penempatan haram Israel. Salah satu darinya terkena kilang kimia di bandar Usdud menyebabkan berlakunya kebakaran yang besar. Pihak tentera Israel melaporkan 16 orang tentera Israel tercedera dan berada dalam keadaan kritikal.

Lebih dari 100 orang ulamak dan cendiakawan Islam menjelaskan negara-negara yang berkerjasama dalam menutup sempadan Rafah dan memusnahkan terowong-terowong rahsia yang digunakan untuk membawa makanan dan ubat-ubatan ke Gaza merupakan satu kerjasama dengan musuh Zionis bagi membunuh penduduk Gaza dan satu pengkhianatan yang paling besar dalam sejarah umat Islam. Ulamak telah bersepakat "Membantu golongan kafir bagi mengalahkan golongan muslimin adalah kafir dan murtad dari agama Islam." Termasuk dalam hukum ini ialah kerjasama dalam menutup sempadan Gaza, memusnahkan terowong rahsia, menghalang kemasukan bantuan dan menyerah sempadan-sempadan kepada Yahudi. Sebagimana termasuk juga dalam hukum ini ialah individu, badan-badan, media massa, negara yang membantu yahudi menyerang mujahidin di Gaza.

17 Januari 2009:
Pusat Hak Asasi Rakyat Palestin menegaskan paling kurang sebanyak 67 sekolah telah di bom oleh tentera Zionis Israel. 36 buah sekolah daripadanya merupakan sekolah dibawah seliaan UNRWA (United Nations Relief and Works Agency). Pusat Hak Asasi Manusia Al-Mizan menyebut pada 17 Januari, tentera Zionis terus mensasarkan bangunan dan pegawai-pegawai bantuan pelarian UNRWA. Pihak Zionis telah mengebom sekolah yang dijadikan oleh UNRWA sebagai pusat penempatan sementara mangsa perang. Begitu juga beberapa kereta telah dibom.

Tentera Zionis juga telah mengebom Pejabat Utama UNRWA di Gaza dan stor simpanan makanan yang akan diagihkan kepada keluarga fakir dari kelangan pelarian. Pada pagi 17 Januari sebuah sekolah di Bait Lahia, sekolah lelaki yang menempatkan seramai lebih 1800 orang awam yang kehilangan tempat tinggal di Bait Lahia telah dibom tentera Zionis.

Pengeboman itu berlaku pada pukul 6.30 pagi dan ia disengajakan berdasarkan serangan disasarkan terus ke sekolah tersebut. Serangan bom itu menyebabkan bumbung sekolah terbakar dan memaksa pihak UNRWA memindahkan mangsa serangan keluar dari bilik-bilik darjah sekolah. Serpihan bom tersebut telah menyebabkan kematian dua orang kanak-kanak iaitu Bilal Muhammad Syahdah Al-Asyqar (5 tahun) dan adik lelakinya Muhammad Muhammad Syahdah Al-Asyqar (4 tahun). Ibu kanak-kanak tersebut Najwad Sya'ban Nasr Al-Asyqar (25 tahun) cedera parah.

Rejim Zionis terus mengebom sekolah tersebut. Pengeboman yang ke empat ke atas sekolah yang sama menyebabkan 14 orang tercedera, 6 orang darinya ialah kanak-kanak. Serangan ini menyebabkan pelarian lari menuju ke Hospital Kamal Udwan berdekatan dengan sekolah. Pihak UNRWA juga telah membuka sekolah Usamah Bin Yazid sebagai penempatan sementara yang baru. Terdapat 320 buah keluarga menetap di situ iaitu seramai 1863 orang. Ada juga beberapa keluarga kembali ke sekolah yang di bom kerana ketiadaan tempat untuk berlindung.

18 Januari 2009:
Sehingga tengahari 18 Januari 2009, angka gugur syahid rakyat Palestin di Gaza berjumlah 1310 orang. Separuhnya terdiri daripada kanak-kanak, wanita dan orang tua. Menurut Dr. Muawiyah Hasanain, Pengurus Am Bahagian Ambulan dan Kecemasan di Kementerian Kesihatan Palestin jumlah kematian meningkat lebih dari 1310 orang dan jumlah yang cedera bertambah kepada 5450 orang; 417 daripadanya kanak-kanak, 108 wanita, 120 orang tua, 14 orang dari kalangan pasukan pertahanan Awam Dan Kecemasan, 4 orang wartawan dan 5 orang asing. Berpuluh-puluh rakyat Pelestin gugur syahid di pelbagai tempat di Gaza kerana pasukan bantuan kecemasan tidak dapat ke sana. Banyak mayat sudah hancur dan berbau busuk kebanyakannya kanak-kanak dan wanita yang menetap di rumah masing-masing di awal serangan Zionis.

HAMAS mengisytiharkan gencatan senjata dengan syarat:
  • Tentera zalim Zionis hendaklah keluar dari Gaza dalam tempoh seminggu.

  • Semua sempadan Gaza hendaklah dibuka untuk bantuan di salurkan ke Gaza.

Menurut Jabatan Keamanan Am Syabak, sebanyak 565 roket dan 200 Mortar telah dilancarkan ke Israel semenjak awal serangan Israel ke atas Gaza 18 hari yang lepas. Mengikut bancian Syabak, sebanyak 565 roket telah dilancarkan. 10% roket dari jenis roket Grad. Sebanyak 1272 penduduk Israel cedera semenjak awal perang.

19 Januari 2009:
Sidang Akhbar Briged Syahid Izzuddin Al-Qassam.

Briged Syahid Izzuddin Al-Qassam telah melancarkan serangan hebat ke atas tentera Zionis dalam tempoh peperangan selama 22 hari. Seramai 80 orang tentera Zionis terbunuh. Kenyataan tersebut dinyatakan oleh Abu Ubaidah jurucakap bagi pihak briged tersebut dalam sidang media yang diadakan pada hari isnin 19 Januari 2009. Beliau juga mencabar pihak tentera Zionis mengistiharkan angka kematian dan kerugian yang sebenar akibat perang yang berlaku di Gaza.

Menurut beliau lagi, angka kematian rakyat Palestin dalam perang Gaza ialah lebih dari 1300 orang kebanyakannya terdiri dari kalangan orang awam iaitu kanak-kanak, wanita dan orang tua. Ini menunjukkan peperangan ini yang berlaku semata-mata atas dasar mahu membunuh orang ramai yang diharuskan mengikut akidah Yahudi dalam Kitab Talmud.

Menurutnya, seramai 48 mujahid Al-Qassam tercedera dalam peperangan yang berat sebelah di Gaza. Ia dirancang semenjak sekian lama selepas sekatan ke atas Gaza dilancarkan dan serangan saraf yang besar ke atas penduduk Gaza.

Pihak Briged Tentera Al-Qassam telah berjaya melancarkan sebanyak 980 buah roket, darinya sebanyak 340 buah roket Qassam, 213 roket jenis Grad dan 422 mortar.

Pihak Briged juga berjaya meletupkan 79 buah bom peledak rahsia milik Zionis, sebanyak 98 serangan bom terhadap kereta kebal Zionis termasuk menggunakan roket anti kereta perisai, 53 tembakan sembunyi, 12 serangan hendap, 19 serangan secara berdepan terus dengan tentera Zionis, dan satu operasi syahid telah dapat dilakukan oleh Ruzq Samy Subuh di Bait Lahia.

Briged Al-Qasam juga berjaya memusnahkan lebih kurang 47 buah kereta perisai, 4 buah helikopter dan sebuah helikopter risikan.

20 Januari 2009:
Badan Hak Asasi Manusia yang dikenali dengan Badan Kemanusiaan Antarabangsa Asdiqa' yang berpusat di Vienna, Austria telah mengeluarkan satu laporan berkenaan dengan tempat-tempat ibadat yang telah dimusnahkan oleh Zionis sehingga 20 Januari 2009 serangan ke atas Gaza. Menurutnya pihak tentera penjajah Zionis dengan sengaja telah melancarkan serangan roket dan bom ke atas rumah-rumah ibadat umat Islam di Gaza walaupun terdapat orang di dalamnya.

Mengikut bancian yang dilakukan olehnya, terdapat 27 buah masjid telah dimusnahkan oleh tentera Zionis semenjak permulaan serangan sehingga 27 Disember 2008. Badan tersebut menegaskan berpuluh-puluh masjid lagi telah rosak apabila pihak tentera mensasarkan serangan ke atas rumah-rumah dan penempatan yang berdekatan dengan masjid. Begitu juga surau-surau yang dibina di bangunan-bangunan kementerian, persatuan, kelab sukan, balai polis dan seumpamanya banyak telah musnah akibat serangan bom ke atas bangunan-bangunan tersebut.

Serangan ke atas surau dan masjid serta bangunan awam dianggap satu pencerobohan besar dan tidak menghormati kemuliaan masjid bagi umat Islam dan peranan badan-badan awam. Namun itu bukan sesuatu yang pelik bagi Zionis kerana mereka sentiasa membunuh penduduk Palestin dan senjata-senjata mereka sering disasarkan terhadap kanak-kanak, wanita, orang tua, dan rumah-rumah dalam misi serangan ke atas Palestin.

Badan tersebut menambah apa yang berlaku ke atas Gaza sama dengan apa yang telah dilakukan oleh tentera militan di bumi Palestin pada tahun 40-an. Ketika itu beribu-ribu buah rumah ibadat dan tempat suci telah dimusnahkan. Ia juga sama dengan apa yang dilakukan oleh tentera Serbia dalam serangan ke atas rakyat Bosnia pada satu ketika dulu.

21 Januari 2009:
Kenyataan Akhbar Menteri Pekerjaan & Penempatan Palestin di Gaza menyebut, sebanyak 2 bilion dan 215 juta dolar Amerika diperlukan untuk membangunkan kembali Gaza yang musnah akibat serangan yang dilancarkan oleh Israel. Beliau juga menyebut semua usaha bantuan samada pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa tidak akan sampai ke Gaza melainkan apabila dibuka semua sempadan-sempadan dan berkerjasama serta menyusun bantuan dengan kerajaan Hamas di Gaza.

Sebanyak 15 keluarga telah musnah keseluruhan rumah mereka dan 6 ribu keluarga telah rosak teruk rumah mereka. Bangunan kerajaan dan bangunan-bangunan lain yang telah musnah memerlukan kepada 8 juta dolar Amerika untuk membinanya dan pembinaan kembali Lapangan Terbang Gaza dan Pelabuhan Gaza memerlukan 10 juta dolar Amerika.

Menurut beliau juga melalui bancian kementeriannya sebanyak 55 juta diperlukan untuk membina prasarana yang telah musnah seperti saliran air, elektrik, dan seumpamanya dan sebanyak 40 juta dolar Amerika diperlukan untuk membina ladang-ladang pertanian dan haiwan ternakan.
 
 |  
 |  
Sila tunggu sebentar....