Artikel
Malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak Palestin- Roshariza -



 
Malnutrisi (kekurangan nutrisi) dalam kalangan kanak-kanak adalah masalah kesihatan umum yang perlu dititikberatkan kerana ia melibatkan tumbesaran fizikal dan kesihatan mental. Menurut kertas kajian yang dikeluarkan oleh Jurnal Kesihatan Mediterranian Timur bertajuk "Kemerosotan Status Nutrisi Dalam Kalangan Kanak-Kanak Pra-sekolah di Gaza, Palestin di bawah kepungan tentera Israel" (Radi S.M et.al. 2013) mendapati, dalam kalangan kanak-kanak berumur dua hingga lima tahun di Semenanjung Gaza mengalami masalah malnutrisi yang meruncing. Masalah ini meliputi keadaan anaemia (kekurangan paras haemoglobin dalam sel darah merah), tumbesaran terbantut dan kekurangan berat badan.

Paras haemoglobin yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization atau WHO) bagi penentuan kes anaemia adalah dibawah paras 11g/dL. Sejak tahun 2002, anemia dalam kalangan kanak-kanak menjadi masalah besar di Palestin. Pada tahun kajian ini dijalankan iaitu pada tahun 2009, 50.6% kanak-kanak Palestin menghidap anaemia. Angka ini merupakan antara yang tertinggi dikawasan Timur Tengah. Ia hampir menyamai kes di Iraq iaitu sebanyak 56%. Ini ditambah lagi dengan masalah tumbesaran terbantut iaitu 15%. Selain itu, 6.1% kanak-kanak mengalami masalah kurang berat badan. Statistik ini didapati daripada hasil bancian isi rumah di seluruh kawasan termasuk kawasan bandar, pendalaman serta khemah pelarian.

Punca yang dikenalpasti daripada kajian ini berkait rapat dengan krisis ekonomi diantara Palestin dan Israel. Secara langsung, krisis ini mengancam jaminan barangan makanan (food security) rakyat Palestin. Jaminan ini merangkumi gabungan diantara aspek ekonomi dan fizikal bagi mendapatkan bahan makanan. WHO menyenaraikan empat komponen asas iaitu kebolehdapatan, capaian atau saluran, penggunaan dan kestabilan. Dari sudut kebolehdapatan, makanan mencukupi sama ada daripada penghasilan domestik mahupun diimport. Aspek capaian atau saluran bahan makanan pula menyentuh isu kemampuan sesebuah keluarga bagi memperolehi makanan. Penggunaan bahan makanan pula bermaksud bahan mentah diproses dan disimpan secara wajar. Selain itu pengetahuan mengenai nutrisi, penjagaan kesihatan dan kebersihan kanak-kanak haruslah berada ditahap yang memuaskan. Akhir sekali, kestabilan merujuk kepada kebolehdapatan secara berterusan tanpa diganggu gugat oleh bencana seperti krisis luar jangka atau kekurangan bahan secara bermusim.

Rakyat Palestin khasnya di Semenanjung Gaza mempunyai tahap jaminan barangan makanan yang rendah. Ia bermula dengan kesulitan mereka untuk mendapatkan bahan makanan. Laporan bancian isi rumah mendedahkan 94.4% penduduk mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan. Bekalan makanan yang terjejas termasuk binatang ternakan, daging, buah-buahan, produk tenusu, tepung dan roti. Kepungan tentera Israel yang berterusan mengehadkan pergerakan rakyat serta bekalan makanan. Kajian daripada Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nation Population Fund atau UNPF) dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (Food and Agriculture Organization atau FAO) menjelaskan bahawa kepungan ini juga memberi kesan kepada kekurangan gas memasak bagi penyediaan makanan. Selain itu, walaupun rakyat mempunyai saluran kepada bekalan air, namun hanya 4% sahaja yang dapat menikmati kemudahan paip air. Tambahan pula, laporan daripada Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation Development Programme atau UNDP) menyatakan selain daripada kepungan tentera, kekurangan komoditi makanan, peningkatan harga produk makanan dan kehilangan punca pendapatan juga memberi kesan buruk terutama kepada penduduk miskin di Semenanjung Gaza. Pada masa kajian ini dijalankan, sebanyak 92.1% penduduk di Palestin berada dibawah paras kemiskinan iaitu dibawah USD569.10. Natijahnya, penduduk Palestin terpaksa meminjam, menjual harta mereka seperti emas atau bergantung kepada derma daripada badan-badan sukarela untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Kesimpulannya, dapat dilihat secara jelas bahawa kepungan Israel terhadap penduduk di Semenanjung Gaza memberi kesan langsung terhadap bekalan makanan lalu menjejaskan kesihatan kanak-kanak yang tidak berdosa. Teruskanlah menderma kerana sumbangan kita semua amat mereka harapkan untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka dibumi barakah, Palestin.

Sumber : Ongoing deterioration of the nutritional status of Palestinian preschool children in Gaza under the Israeli siege
S.M. Radi,1 N.A. El-Sayed,2 L.M. Nofal 3 and Z.A. Abdeen 4
Dari http://applications.emro.who.int/emhj/v19/03/EMHJ_2013_19_3_234_241.pdf



 
Sumber: Terjemahan Dari Laman Http://applications.emro.who.int/emhj/v19/03/EMHJ_2013_19_3_234_241.pdf   |   Catatan: ROSHARIZA   |   13 Ogos 2015
 |  
 |  
Sila tunggu sebentar....