Artikel
Laungan al-Aqsa!
Firman Allah s.w.t: "Maha suci Allah yang telah memperjalankan hambanya dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah diberkati sekitarnya, untuk Kami tunjukkan tanda-tanda kebesaran Kami, sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat".



Sesungguhnya masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama dan masjid yang ketiga selepas dua masjid al-Haram serta masjid yang kedua didirikan di atas muka bumi ini selepas masjid al-Haram di Makkah.

Di dalam sebuah hadith terdapat galakan daripada Rasulullah s.a.w untuk umat Islam menziarahi Bait al-Maqdis dan bersembahyang di dalamnya serta galakan baginda agar mengikat tunggangan ke masjid al-Aqsa (beribadah di masjid al-Aqsa). Rasulullah s.a.w juga memberi khabar gembira kepada mereka yang tinggal di Bait al-Maqdis dan sekitarnya dengan menyatakan bahawa mereka adalah golongan yang "menang". Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sentiasalah satu golongan daripada umatku berada di dalam kebenaran, mereka tidak dimudaratkan oleh golongan yang menentang mereka sehinggalah datang janji Allah, sedang mereka dalam keadaan yang sedemikian juga. Sahabat pun bertanya "Di manakah mereka wahai Rasulullah?" jawab baginda: "Mereka berada di Bait al-Maqdis dan kawasan sekitarnya".

Kini kita merasai ulang tahun ke 41 keperitan dan kesengsaraan yang dihadapi oleh Bait al-Maqdis. Kini kita hidup dalam keadaan Bait al-Maqdis jatuh ke tangan musuh Zionis yang mana semenjak ia berada di bawah payung penjajahan Zionis, mereka berusaha dengan gigih untuk membina "Haikal/Kuil", usaha yang mereka lakukan itu adalah dengan cara mengorek lubang-lubang di bawahnya, perkara ini membawa kepada kemungkinan runtuhnya Masjid al-Aqsa.



Berikut adalah beberapa ketetapan yang telah dikeluarkan oleh Persatuan Ulama' Muslimin Antarabngsa yang diketuai oleh Dr. Yusuf Al-Qardhawi:

  • Usaha pembebasan seluruh tanah Palestin yang dijajah terutamanya al-Quds dan Masjid al-Aqsa adalah kewajipan bagi semua pemimpin Islam, Ulama' dan individu Muslim mengikut kadar kemampuan masing-masing.

  • Sesungguhnya Masjid al-Aqsa dan al-Quds berkait rapat dengan agama Islam. Nas-nas daripada al-Qur'an dan al-Hadith menguatkan lagi hujjah kesucian bumi tersebut dan ia adalah tanah wakaf umat Islam sehingga hari kiamat yang tidak boleh dibiarkan dan diabaikan.

  • Kerja-kerja menjual atau menyewakannya kepada orang-orang Yahudi akan memudahkan lagi untuk mereka menguasai tanah tersebut, kerja-kerja sedemikian adalah haram di sisi Syara`.

  • Sesungguhnya pendirian politik yang memudahkan kerja penjajahan Yahudi ke atas Masjid al-Aqsa dan kawasan sekitarnya dikira perbuatan yang haram serta mereka yang membantu memudahkan jalan itu dianggap sebagai orang yang "khianat" kepada Allah dan RasulNya serta kepada orang-orang beriman.

  • Dakwaan atau usaha untuk meng-Internasionalisasi-kan al-Quds dan Masjid al-Aqsa juga dikira sebagai haram di sisi Syara' kerana perbuatan itu dianggap sebagai berlepas tangan.

  • Semua urusan dengan rejim Zionis dari segi politik dan ekonomi adalah dianggap sebagai mendokong dan menyokong Zionis yang berusaha untuk menjajah bumi yang suci itu.


Kita ingin mengejutkan orang-orang yang lalai dan tidur, mengingatkan orang yang lupa, memberikan semangat kepada mereka yang takut, menetapkan hati orang yang goyah dan gusar, membuka pekung rahsia orang yang khianat, menguatkan para Mujahidin yang tidak pernah menerima perdamaian, membebaskan diri mereka daripada sifat "Al-Wahnu" serta ingin hidup mulia dan mati syahid.

Al-Quds bukanlah milik orang Palestin semata-mata, walaupun mereka lebih berhak keatasnya, bukan juga untuk orang Arab sahaja, walaupun merekalah bangsa yang lebih utama untuk mempertahankannya, akan tetapi al-Quds adalah milik setiap individu Muslim walau di mana mereka berada, tidak kira samada pemimpin, rakyat biasa yang terpelajar atau tidak, kaya atau miskin, lelaki atau wanita mengikut kadar kemampuannya.

Wahai umat Islam, ayuh!! Telah berjaya orang yang berusaha, loceng "bahaya" telah berbunyi dengan laungan AL-QUDS, AL-QUDS, AL-AQSA, AL-AQSA!!!
 
 |  
 |  
Sila tunggu sebentar....