Artikel
Ketika Dunia Melupakan Gaza
Jalur Gaza ialah sebuah wilayah kecil Palestin yang terletak di pesisiran pantai di selatan negara tersebut. Keluasannya hanya sekitar 36.3 km persegi, diduduki oleh kira-kira 1.3 juta penduduk, lalu menjadikannya sebagai antara kawasan terpadat di dunia.

Menurut Dr Mohsein Soleh, Pengarah Institut Zaytounah yang berpusat di Beirut menjelaskan bahawa lebih daripada 800 ribu penduduk Gaza adalah pelarian Palestin yang datang dari kawasan-kawasan Palestin yang telah dijajah Israel sejak tahun 1948 lagi.

Gaza sebagaimana wilayah-wilayah Palestin yang lain telah ditekan dan dicengkam dengan keganasan Yahudi sejak kira-kira 60 tahun yang lalu, kini terus menjadi mangsa kekejaman regim Zionis yang memuncak sejak 6 bulan yang lalu. Sekatan ekonomi, politik, kemanusiaan dan kepongan ketenteraan telah dan sedang dikenakan tanpa rasa belas ihsan dan kemanusiaan yang turut menyiksa wanita, kanak-kanak, orang-orang tua serta pesakit-pesakit yang tenat.

Inflasi yang memuncak dan 80 peratus pengangguran adalah target utama Israel yang realistik sebagai hasil sekatan dan kepungan ketenteraan Israel terhadap Jalur Gaza yang terkini, menurut tulisan seorang wartawan Saleh Al Naami. Suasana yang ada sangat sukar diterima akal manusia yang normal dan amat mengharukan buat sesiapa yang prihatin.

Rasa lega jelas terserlah pada air muka Mohamed Al Masri dan isterinya Rania ketika mereka mengekori jururawat yang memindahkan anak sulung mereka, Ahmad 12 tahun, dari dewan bedah di Hospital Dar al Shifa di Gaza. Pasukan perubatan akhirnya berjaya melakukan pembedahan terhadap telinga Ahmad demi memulihkan deria pendengarannya, apabila Israel sebelum ini telah menghalang pengimportan gas nitrous oxida. Gas ini digunakan sebagai bahan bius dan ianya adalah keperluan asasi untuk kegunaan pembedahan. Israel telah membenarkan penghantaran gas asasi ini ke hospital-hospital di Jalur Gaza hanya sehari sebelum Ahmad dibedah minggu lalu.

Sekatan terhadap gas nitrous oxida yang diimport ke hospital-hospital di Gaza telah memaksa pihak pentadbiran hospital menutup jabatan-jabatn pembedahan serta menghentikan rawatan pembedahan melainkan rawatan kecemasan shaja. Apabila bekalan gas yang diimport ini disambung semula, kakitangan perubatan terpaksa bekerja siang dan malam untuk membuat pembedahan yang tertangguh disebabkan sekatan bekalan gas sebelum ini. Namun menurut Bassem Naim, Menteri Kesihatan kerajaan Ismail Haniyah berkata bahawa sekatan pengimportan nitrous oxida oleh Israel boleh berlaku lagi pada bila-bila masa. "Ada kemungkinan bahawa malapetaka ini boleh berulang lagi, dengan kematian pesakit-pesakit kerana hospital kami tidak boleh melakukan rawatan pembedahan." beliau menjelaskan isu tersebut kepada akhbar Mingguan Al Ahram (akhbar resmi Mesir). "Campurtangan antarabangsa sangat diperlukan untuk menghalang bencana ini daripada berlaku lagi."

Beliau menambah bahawa krisis di sektor kesihatan yang melanda Jalur Gaza tidak hanya terhad kepada kehabisan stok nitrous oxide. Ia turut menjangkaui kekurangan dan kehabisan berbagai jenis ubatan yang digunakan untuk pesakit-pesakit kronik. Menurut Bassem Naim, kira-kira 40-50 jenis ubat-ubatan boleh dikatakan habis langsung. Malahan yang paling penting daripada ubat-ubatan ini adalah untuk kegunaan pesakit jantung. Mariam Aliyan, 45 tahun adalah seorang kakitangan awam di Rafah yang terletak di selatan Gaza (sempadan Mesir). Beliau terpaksa mengambil cuti selama sebulan kerana khuatir bahawa kesihatannya akan semakin meruncing. Beliau adalah seorang pesakit jantung yang kini masih lagi stabil. Keluarga Mariam menghalangnya daripada pergi bekerja kerana risau terhadap kesihatannya yang ditambah oleh beban kerja serta bekalan ubat yang terputus. Ini bermakna beliau terpaksa dimasukkan ke hospital.

Jabatan Kardiologi (Jantung) di hospital-hospital di jalur Gaza hanya mula menerima pesakit-pesakit jantung yang tenat yang disebabkan kekurangan ubat-ubatan dan peralatan perubatan. Dr Mazen Al-Tatar, Pakar Perunding dan Ketua Jabatan Kardiologi di Hospital Dar Al-Shifa, hospital terbesar di Jalur Gaza menyatakan bahawa sekatan ketenteraan Israel tersebut telah memberikan kesan negatif yang teruk kepada pesakit-pesakit jantung. Sekatan tersebut telah menyebabkan terputusnya bekalan ubat utama yang sukar didapati dan juga menyebabkan peralatan perubatan tidak lagi boleh digunakan. Sebagai contoh, di Jabatan Kardiologi yang diketuainya itu mempunyai 5 alat pemantauan jantung yang kini tidak lagi berfungsi setelah mereka menggunakannya untuk selama 17 tahun.

Salah satu tanda yang amat ketara tentang keadaan kesihatan di Jalur Gaza yang meruncing ialah apabila Hospital Al-Wafa, pusat perubatan yang mengkhususkan rawatan rehabilitasi terhadap pesakit-pesakit yang menghadapi masalah pergerakan anggota badan terpaksa memberhentikan kebanyakan program-program rehabilitasi (pemulihan). Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh hospital tersebut, sekatan ketenteraan Israel dan sekatan perdagangan telah menyebabkan banyak program rawatan kepada pesakit yang cedera dan kurang upaya terpaksa dihentikan. Ianya juga telah menyebabkan ubat-ubatan dan bekalan keperluan perubatan tidak sampai ke hospital malahan turut menghalang pesakit membuat perjalanan ke luar untuk mendapatkan rawatan asas dan lanjutan.

Selain dari rawatan rehabilitasi pergerakan anggota, Hospital Al-Wafa juga merupakan satu-satunya pusat rawatan yang merawat pesakit yang menghadapi permasalahan saraf yang disebabkan oleh serangan dan penjajahan ketenteraan Israel di Palestin.

Sekatan ketenteraan yang diikuti oleh pergerakan perdagangan yang merudum di antara Gaza dan dunia luar telah menyebabkan kenaikan harga barang-barang keperluan. Contoh yang nyata ialah harga satu beg tepung naik sebanyak 80 peratus kerana Gaza yang memerlukan sebanyak 680,000 tan tepung sehari hanya dibenarkan membawa 90 tan kemasukan. Harga gula naik sebanyak 60 peratus yang kemudiannya diikuti oleh barang-barang makanan yang lain. Malahan 0rang-orang Palestin di Jalur Gaza tidak boleh bermimpikan berbagai produk yang lain seumpama minuman dalam tin dan lain-lain.

Harga bahan-bahan keperluan pembinaan naik melangit setelah Israel menghalang pengimportan barangan ini. Harga simen contohnya naik sehingga 10 kali ganda. Ini juga telah mengakibatkan kadar pengangguran menjadi semakin parah. Pekerjaan yang bergantung dengan bahan-bahan binaan jelas terancam yang kini melebihi 80 peratus. Begitu juga dengan industri yang banyak terhenti kerana bergantung kepada bekalan bahan-bahan mentah.

Deraan dan penindasan terhadap orang-orang Palestin di Gaza sebenarnya akan lebih meruncing nanti. Ehud Barak, Menteri Pertahanan Israel telah meluluskan siri hukuman dan kekejaman yang pelbagai yang bertujuan untuk melemahkan pergerakan perjuangan rakyat Palestin. Kerajaan Israel juga telah meluluskan cadangan supaya tekanan yang tidak berperikemanusiaan itu ditingkatkan kepada Gaza.

Di antara siri tekanan itu ialah dengan mengurangkan bekalan elektrik ke Gaza. Ini bermakna penduduk Gaza akan berada dalam kegelapan malam serta menggigil kesejukan pada musim sejuk nanti. Kerajaan Israel juga telah memutuskan untuk mengurangkan bekalan minyak yang diimport oleh janakuasa elektrik Gaza.

Bekalan elektrik yang kurang juga akan menyebabkan bekalan air yang akan dihantar ke rumah penduduk-penduduk Gaza akan terhenti buat beberapa jam sehari. Kuantiti minyak untuk pengangkutan dan gas untuk kegunaan domestik juga akan semakin terhad. Berbagai sektor kehidupan orang Palestin terjejas, yang turut mengesani kanak-kanak, wanita, orang-orang tua dan pesakit-pesakit.

Kerajaan Israel turut menghalang pergerakan keluar dan masuk rakyat Palestin dari Gaza. Jamal Al-Khadri, yang mengetuai PCRS (Popular Committee for Resisting the Siege) menganggap bahawa sekatan Israel ini sangat bertentangan dengan "hak asasi kemanusiaan dan persetujuan antarabangsa yang membenarkan setiap orang untuk hidup dalam kebebasan dan penuh kehormatan." Dia menjelaskan kepada akhbar Mingguan Al-Ahram bahawa," Langkah yang diambil Israel ini akan meningkatkan kepayahan dan kesengsaraan rakyat Palestin terutamnya di kalangan mereka yang sakit dan kanak-kanak. Semua ini hanya akan menambah kesan negatif dari semua sudut dan langsung tidak akan menyumbang kepada kestabilan serantau ataupun kehidupan dengan aman lagi selamat."

Laporan dari Institut Zaytounah yang berpangkalan di Beirut , melaporkan kekejaman regim Zionis yang diantaranya kini turut memenjarakan lebih 11 ribu penduduk Palestin yang tidak berdosa. Ada di kalangan mereka kanak-kanak seramai 350 orang, 115 wanita dan kira-kira 1200 yang sedang sakit. Ada di kalangan pesakit ini yang meninggal dunia kerana kekurangan belakan ubat-ubatan dan dinafikan hak rawatan asas mereka. Malahan ada juga di kalangan mereka wanita hamil yang bersalin ketika merengkok di dalam penjara Israel.

Dua orang wartawan Israel yang bernama Avi Yesiskrof dan Armos Heril telah menyatakan bahawa pihak atas tentera Israel telah mencadangkan agar siri tekanan dan hukuman yang sistematik ini diteruskan secara berpanjangan walaupun mereka tahu bahawa rakyat Palestin tidak akan menyerah secara mudah. Kedua-dua wartawan ini membidas bahawa tekanan dan hukuman ini hanyalah bertujuan untuk mendapat sokongan pendatang Yahudi yang tinggal di sekitar Gaza seperti di Penempatan Siderot yang selalu menjadi objek serangan peluru berpandu buatan tangan pejuang Palestin di Gaza.

Seorang penulis Uzi Benziman, yang juga merupakan seorang penganalisa politik Israel telah menyatakan pendiriannya di dalam akhbar harian Haaretz (akhbar resmi Israel), bahawa hukuman ini menyalahi etika kemanusiaan yang akan menghasilkan keputusan yang sebaliknya. Orang-orang Palestin akan semakin membenci Israel dan akan menyebabkan pemuda-pemuda Palestin semakin ghairah menyertai perjuangan untuk menentang Israel. Benzimen juga berkata bahawa pengalaman yang lalu telah menunjukkan bahawa tekanan dan hukuman telah menemui kegagalan. "Sebaliknya, kaedah yang keras dan kejam ini telah menyuntik semangat di kalangan organisasi-organisasi Palestin untuk bangkit menyerang Israel dan meningkatkan serangan berani mati sebagai membalas dendam," tulisnya di dalam Haaretz baru-baru ini.

Nah! Itulah suasana terkini saudara kita di Jalur Gaza. Apa pula sumbangan kita sebagai Muslim yang prihatin dan apakah pula tindakan selanjutnya?


Zainur Rashid Zainuddin
Perunding Aman Palestin
 
 |  
 |  
Sila tunggu sebentar....