Artikel
Kenyataan Media Aman Palestin
Berikutan Pencerobohan Ke atas Masjid al-Aqsa al-Mubarak dan Seruan Menjadikan Hari Jumaat, 9 Oktober 2009, sebagai "Yaumul Ghadab" (Hari Kemarahan) dalam memperjuangkan Masjid al-Aqsa.

AMAN PALESTIN mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan ke atas Masjid Al-aqsa al-Mubarak oleh penduduk Yahudi di bawah pengawasan tentera Israel pada hari Ahad 4 Oktober 2009 dan berterusan sehingga kini.

Pencerobohan itu, yang dilakukan tepat selepas 9 tahun Ariel Sharon melaksanakan tindakan memalukan yang sama, berlaku pada perayaan Yahudi "Yom Kippur". Tindakan mereka ini telah menyebabkan 16 orang rakyat Palestin dimasukkan ke hospital dan 9 lagi dipenjarakan. Masjid al-Aqsa al-Mubarak adalah tempat suci dan ianya sangat tidak boleh diterima apabila tentera Israel bersama penduduknya dibenarkan untuk melakukan jenayah yang kejam terhadap rakyat Palestin, komuniti Muslim dan masjid sucinya.

AMAN PALESTIN menyeru semua badan perundangan antarabangsa untuk memberi tekanan ke atas mereka yang terlibat di atas tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan dan menghalang mereka dari mengulangi perbuatan yang sama pada masa akan datang.

AMAN PALESTIN juga menuntut para pemimpin negara-negara Arab dan Islam supaya mengadakan sidang kemuncak tergempar untuk menyelamatkan al-Aqsa daripada pencerobohan Israel.

Ini berikutan ancaman bahaya ke atas Masjid al-Aqsa yang disebabkan oleh pencerobohan puak ekstremis Yahudi ke atas kawasan Masjid al-Aqsa. Umat Islam juga dihalang daripada bersolat di dalamnya dan penangkapan beramai-ramai ke atas umat Islam yang beriktikaf kerana mempertahankan Masjid Al-Aqsa daripada dicabuli dan dinodai.

Tentera Israel juga mengancam untuk menguasai Masjid al-Aqsa sebagai permulaan untuk membahagikan Masjid al-Aqsa kepada umat Islam dan Yahudi. Seperti mana yang berlaku kepada Masjid al-Ibrahimi sebelum ini.


AMAN PALESTIN menyifatkan serangan ke atas Masjid Al-Aqsa Ahad lalu sebagai pengisytiharan perang terhadap masyarakat Arab dan Muslim di seluruh dunia. Apa yang berlaku pada hari Ahad lalu iaitu sehari sebelum Yom Kippur adalah bukti pakatan rahsia pihak polis dengan kumpulan-kumpulan ekstrimis Yahudi dan satu bentuk perkauman dan keagamaan yang paling dahsyat pernah disaksikan oleh Israel.

Masjid Al-Aqsa adalah suci bagi masyarakat Arab dan Muslim. Sebarang cubaan kumpulan-kumpulan Yahudi untuk memusnahkannya hanya akan menguatkan lagi semangat orang Islam untuk mempertahankan hak mereka. Aman Palestin ingin mengimbas kembali usaha-usaha penubuhan politik dan ketenteraan Israel. Umat Islam Palestin akan menyambut ulang tahun Intifada Al-Aqsa yang kesembilan di mana darah masyarakat Arab telah tumpah mempertahankan Masjid al-Aqsa. Dan hari ini, mereka juga bersedia untuk berkorban sekali lagi demi mempertahankan maruah Masjid al-Aqsa.

Jenayah pencerobohan Israel yang berterusan untuk mempercepatkan taktik serangannya dilihat cuba untuk menghasilkan satu jenis peperangan yang baru berbanding menerima proses rundingan seperti yang dijangkakan. Ini dapat dirumuskan apabila berlakunya serangan secara serius ke atas al-Haram al-Sharif (Masjid al-Aqsa) pada hari Ahad yang lalu sehingga menyebabkan ramai rakyat Palestin tercedera.

AMAN PALESTIN menegaskan sekali lagi bahawa serangan ke atas kawasan Masjid al-Aqsa telah dirancang dan bukannya berlaku secara tidak sengaja. Pasukan keselamatan yang diketuai oleh kerajaannya tahu mengenai sensitiviti terhadap kesucian tempat ini, seperti yang diajarkan oleh pengalaman. Mereka merancang untuk melakukan provokasi berdarah dan merbahaya bermula dari saat ini.

Justeru, AMAN PALESTIN bersama dengan seruan yang dikumandangkan oleh Sheikh Dr. Yusof al-Qardawi Pengerusi Persatuan Ulama' sedunia yang menyeru umat Islam supaya menjadikan hari Jumaat ini sebagai "Hari Kemarahan" untuk memperjuangkan Masjid al-Aqsa al-Mubarak.

AMAN PALESTIN meminta supaya pemimpin-pemimpin Arab dan Islam membenarkan demonstrasi, rapat umum, bacaan doa dan majlis-majlis yang sesuai diadakan selepas solat Jumaat bagi menunjukkan sokongan dan perjuangan mempertahankan Masjid al-Aqsa.

AMAN PALESTIN meminta semua organisasi dan badan-badan di negara-negara Arab dan Islam serta khatib-khatib masjid untuk menggesa seluruh badan dan institusi antarabangsa serta negara-negara di dunia agar bangkit memainkan peranan menghentikan pencerobohan yang dilakukan ke atas Masjid al-Aqsa yang suci.


AMAN PALESTIN BERHAD.
 
 |  
 |  
Sila tunggu sebentar....