Artikel
Jamila Alhabbash dan Projek Gaza- Roshariza -



 
Jamila Alhabbash
Jamila Alhabbash. Koma berminggu-minggu akibat serangan udara di Gaza. Kedua-dua kakinya hancur sehingga ke pangkal lutut. Adiknya, Mohamed juga kehilangan sebelah kakinya. Namun begitu, ia sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk menjadi seorang wartawan tersohor suatu hari nanti.

Taburan kecederaan kanak-kanak
Jamila tidak keseorangan. Kajian di Universiti Palestin (tahun 2013) mendedahkan bahawa kebanyakan kecederaan kanak-kanak adalah daripada serangan di kawasan perumahan(78.5%). Manakala selebihnya berlaku di jalanan(4.2%) dan di sekolah (9%). Kebanyakan mereka diserang semasa mereka sedang bermain atau berbasikal(44.2%) juga ketika berjalan kaki (30.1%). Namakan pelbagai senjata, mereka menjadi sasaran bom, peluru berpadu, kereta kebal serta kapal terbang perang. Seperti mana Jamila, dia dan adiknya diserang ketika sedang bergembira memberi makan burung merpati di beranda rumahnya.

Laporan tersebut juga memperincikan kekerapan kecederaan kanak-kanak akibat serangan. Sekurang-kurangnya 47.6% kanak-kanak di dalam kajian mengalami kecederaan pada tahun lepas. Ditambah pula dengan 25.2% kanak-kanak mengalami sekali kecederaan dan 22.4% mengalami dua kali dan lebih kecederaan dalam masa setahun. Akibatnya, kanak-kanak ini mengalami kecacatan kekal seperti kudung, kecederaan otak dan saraf tunjang, kerosakan saraf serta tisu.

Pakar pemulihan - Projek Gaza
Namun begitu, langit tidak selamanya mendung. Kehadiran sekumpulan pakar pemulihan anggota dari Republik Slovenia merasa terpanggil untuk menaburkan khidmat bakti di bumi Gaza sekaligus memberikan cahaya harapan kepada anak-anak ini. Idea ini tercetus daripada perbincangan di antara mantan presiden Republik Slovenia, Dr Danilo Turk dengan President Palestin, Mahmoud Abbas. Perbincangan mereka terarah kepada bagaimana Slovenia khususnya Institusi Pemulihan Anggota dari Universiti Slovenia (University Rehabilitation Institute of Slovenia atau URI Soca) dapat menyalurkan bantuan kemanusiaan dengan menyasarkan golongan kanak-kanak dan remaja dalam mendapatkan bantuan perubatan. Maka, dengan kerjasama daripada Kumpulan Wang Amanah Antarabangsa (International Trust Fund atau ITF) lahirlah Projek Gaza yang menumpukan kepada pemulihan (rehabilitation) mental dan anggota, serta membangunkan keupayaan tempatan dalam bidang pemulihan.

Kejayaan Projek Gaza
Sejak ditubuhkan pada tahun 2009, seramai 300 kanak-kanak telah mendapat rawatan sewajarnya daripada pelbagai kepakaran termasuk fisoterapi, terapi pekerjaan, juruteknologi perubatan dan pakar penyakit saraf. Matlamat mereka hanya satu. Iaitu bagi pemudah cara dalam menjalani kehidupan seharian. Pada masa hadapan, Projek Gaza menyasarkan dua perancangan iaitu projek psikososial (terapi keluarga) dan melatih pakar tempatan untuk meneruskan legasi Projek Gaza ini.

Impian Jamila Alhabbash
Setelah menjalani rawatan intensif selama sebulan, Jamila Alhabbash yang telah mendapat kaki palsu sudah mampu menjalani kehidupan hariannya. Lebih baik lagi, beliau ditaja untuk menyambung pelajaran dalam bidang kewartawanan di Universiti Al-Aqsa. Sekarang, Jamila sedang mengikuti latihan di Syarikat Berita Maan sebagai seorang wartawan. Diharap pada masa akan datang lebih ramai lagi kanak-kanak mendapat rawatan dan peluang seperti Jamila Alhabbash.



 
Sumber: Rehabilitation For Gazan Children And Young Adults , Journal Of ERW And Mine Action Volume 17, Issu   |   Catatan: ROSHARIZA   |   5 Januari 2016
 |  
 |  
Sila tunggu sebentar....