Salam Aidil Fitri 2024
Artikel
JANGAN RAMPAS KEBAHAGIAAN ITU!- Roshariza -



 
PENGENALAN
Setiap orang berhak untuk mengecap bahagia. Tiada siapa dapat merampasnya. Tetapi untuk sebahagian kanak-kanak dan remaja di Palestin, BAHAGIA hanyalah mainan bibir. Mungkin bila ditanya, mereka juga tidak dapat melihat, apatah lagi menikmati rasa bahagia. KENAPA? Kerana, mental mereka telah lelah dan penat akibat keganasan peperangan. JADI, amatlah perlu merawat mental sekaligus sirna bahagia tentu akan menjelma dihadapan mereka.

KESIHATAN MENTAL
Kesihatan mental adalah satu keadaan dimana setiap individu dapat mengenalpasti potensi diri sendiri, boleh mengatasi tekanan hidup, bekerja dengan produktif serta memberi sumbangan terhadap komuniti. Bukan sahaja bebas daripada penyakit jasmani, kesihatan mental juga adalah sebahagian daripada kesihatan. Oleh itu, bukan sahaja sihat itu sihat daripada penyakit jasmani tetapi juga rohani.
Kanak-kanak juga tidak terlepas daripada isu kesihatan mental. Mereka yang mempunyai kesihatan mental yang baik akan hidup dengan penuh potensi, positif serta rela hati menyumbang apa yang terbaik untuk diri sendiri serta orang disekeliling mereka. Namun begitu, kanak-kanak yang tidak sihat dari segi mental akan mengalami kesukaran dalam menyesuaikan diri dengan situasi yang berbeza. Satu kajian menunjukkan bahawa, kesihatan mental yang tidak dirujuk kepada profesional cenderung mengalami kurang harga diri, diselimuti perasaan negatif, pencapaian akademik yang rendah serta membuat keputusan yang tidak rasional. Bagaimanapun, apabila anak-anak ini dirawat dengan kaedah yang efektif, mereka akan belajar bagaimana untuk hidup gembira, harmoni, penuh kasih sayang serta secara tidak langsung mempunyai status kesihatan mental yang lebih baik.

KESAN PEPERANGAN TERHADAP JIWA
Melalui sejarah peperangan yang panjang dengan begitu banyak korban jiwa, konflik ini menjadikan penduduk Palestin mengalami mimpi ngeri yang menghantui hidup mereka saban hari. Kejadian tembak-menembak, menjadi saksi kematian ngeri jiran, kawan malah orang yang tidak dikenali dan terlibat dalam pencarian mayat-mayat akibat pengeboman menjadikan mereka berada dalam keadaan tertekan, emosi yang tidak menentu serta mengalami kecelaruan somatik (aduan sakit/lesu yang diakibatkan oleh gangguan mental kesan daripada pengalaman keganasan yang keterlaluan).

Dari tahun 2005 hingga 2008, kajian yang melibatkan temuramah seramai 1369 orang mendapati bahawa kanak-kanak serta remaja Palestin mengalami masalah mental pada tahap yang membimbangkan. Ini termasuk kemurungan (15.3%) dan lebih teruk lagi gejala PTSD (post-traumatic stress disorder) (23.2%) iaitu kecelaruan mental yang berpanjangan selepas seseorang mengalami tragedi dalam hidup mereka. Kes ini melibatkan seseorang yang menjadi saksi kepada penderaan kejam, pembunuhan, ugutan dan kehilangan orang yang tersayang serta harta benda. Kajian yang dibentangkan di dalam PubMed, satu badan kajian yang berprestij mendedahkan bahawa PTSD menyerang lebih kurang 23%-70% kanak-kanak dan remaja Palestin.
Selain itu, kanak-kanak Palestin juga terbeban dengan tekanan jiwa yang hebat seperti ketakutan luar kawalan, hilang harapan untuk hidup, kelesuan, tidak dapat tidur dengan sempurna kerana sering mengalami mimpi ngeri, selalu menangis secara keterlaluan, cenderung untuk berkelahi, hiperaktif serta mempunyai daya tumpuan yang rendah.
Lebih buruk lagi, 25.28% daripada mereka cuba membunuh diri manakala 24.58% pula sudah mempunyai perasaan dan idea untuk membunuh diri.

KHIDMAT KESIHATAN MENTAL DI PALESTIN
Sejarah peperangan yang panjang menjadikan satu pertiga daripada penduduk Palestin untuk menerima rawatan mental yang sewajarnya. Daripada keseluruhan keperluan kesihatan, seringkali kesihatan mental mendapat perhatian yang paling rendah. Amnya, selepas tahun 1967, Israel mengabaikan serta tidak membangunkan khidmat kesihatan mental di Tebing Barat dan Gaza. Tambahan pula, kesihatan mental bukanlah satu keutamaan dalam perbelanjaan kesihatan negara. Kesannya, kekurangan sumber yang kritikal menjadi batu penghalang untuk kemajuan kesihatan mental di Palestin.

Lalu, Pertubuhan kesihatan sedunia (WHO atau World Health Organization) dan Kementerian Kesihatan Palestin telah mengambil jalan inisiatif untuk memenuhi kelompongan sistem kesihatan mental di negara bergolak ini. Mereka telah melaksanakan beberapa rancangan untuk membentuk satu sistem kesihatan mental di Palestin di Tebing Barat. Ada tiga strategi utama yang digunapakai untuk melaksanakan sistem ini. Pertama dengan membina infrustuktur seperti klinik, hospital dan pusat kesihatan mental. Setakat ini, tiga belas buah pusat komuniti telah terbina di Tebing Barat dan satu hospital di Bethlehem. Khidmat mereka amat besar dalam merawat skizofrenia, sawan, kecelaruan personality, gangguan pembelajaran, PTSD serta pelbagai masalah mental yang lain. Kedua, mewujudkan satu pasukan kesihatan mental yang terdiri daripada professional, jururawat dan pekerja khidmat sosial untuk memperkasa pelan penjagaan multidisiplin untuk pesakit termasuk memberi latihan, mengajar, menyiapkan kes rujukan serta membuat penilaian status pesakit dari masa ke semasa. Akhir sekali, dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Annajah di Tebing Barat dan Universiti Islam di Gaza, jurusan Sarjana Jururawat Kesihatan Mental telah diperkenalkan buat pertama kali untuk melahirkan jururawat berkelayakan tinggi dalam menangani masalah mental dalam kalangan penduduk Palestin.

KESIMPULAN

Kesihatan dan pemuliharaan mental adalah asas yang penting dalam membentuk insan yang mampu berfikir, berinteraksi secara positif dan menghargai kehidupan. Oleh itu, galakan, perlindungan dan pemulihan kesihatan mental haruslah menjadi penyumbang utama dalam membentuk keprihatinan di dalam diri, keluarga dan masyarakat secara amnya.



 
Sumber: 1. Children's Mental Health Is Without A Doubt The Most Important Aspect Of Any Child's Social And C   |   Catatan: ROSHARIZA   |   20 Mac 2017
 |  
 |  
Sila tunggu sebentar....