Artikel
Gaza bumi Syuhada- Abumohd -



 
Oleh: Ismail Hasyim Yahya
(Penulis ialah Timbalan Dekan Fakulti Komunikasi dan Media, Universiti Selangor yang mengikuti rombongan Aman Palestin ke Gaza kali ke-10).


Sepanjang enam hari (23-28 Oktober) berada di bandar Gaza, saya berpeluang melihat sendiri betapa kota ini jauh berbeza dengan kota Islam lain, jemaah masjid yang penuh, kesantunan bahasa dan sikap ceria penduduknya benar-benar menyegarkan suasana di bumi bergolak ini.

Jika diteliti kebaikan yang menyelinap dalam semua sisi kehidupan mereka. Inilah jihad yang menghasilkan kehidupan positif dan semua itu terdapat di Gaza.

Bagi merealitikan kefahaman terhadap kehidupan masyarakat yang berhadapan dengan serangan rejim pengganas Israel, Aman Palestin membawa pasukan media Malaysia menziarahi salah seorang anggota briged bersenjata al-Qassam yang mati syahid.

Bayangkan untuk pertama kalinya dalam sejarah hidup, saya menziarahi rumah keluarga seorang anggota Briged bersenjata al-Qassam yang mati syahid. Rasa gementar pun ada sebaik menjejakkan kaki di dalam rumah itu.

Harum semerbak wangian dari rumah menyapa hidung saya seolah-olah haruman itu keluar daripada jasad perajurit al-Qassam, Loay Abdul Hamid Mustapha, 21, anak muda lulusan Sains Komputer dari Universiti Islam Antarabangsa Gaza dan berasal dari perkampungan Bait Lahia, lima kilometer ke sempadan Israel-Gaza.

As-Syahid termasuk daripada sebahagian korban serangan drone dan helikopter Israel. Berita kesyahidannya tersebar meluas ke seluruh pelosok Gaza.

Suasana pilu menyelubungi keluarga si mati
Kedatangan kami disambut mesra bapanya dengan jamuan kurma dan kopi pahit Lubnan. Bapanya, seorang guru besar sekolah, Abdul Hakim Mustapha al Jarrad, 54, dengan tenang menjelaskan beliau langsug tidak menyesal dengan kematian anaknya, malah berbangga dan menggesa anak-anak Palestin terus bangkit mempertahankan negara dari pencerobohan pengganas Israel.

"Hari ini keluarga saya meraikan dua perayaan iaitu hari raya kesyahidan Loaye dan perayaan Aidiladha, jelas memperingati pengorbanan anak saya bagi meneruskan perjuangan rakyat Palestin.

"Nama Loay perlu menjadi sebutan di mata masyarakat dan bayi baru lahir harus dinamakan Loay sebagai memperingati perjuangan mereka", katanya.

Beliau memetik firman Allah SWT yang bermaksud: "Jangan mengira bahawa orang yang gugur di jalan ALLAH itu mati, mereka bahkan hidup, tapi kamu tidak mengetahui" (Surah al-Baqarah:154).

Kemudian, kami dibawa menemui ibunya, Umm Loay, 44, dengan nada bersemangat berkata kami akan meneruskan perjuangan ini sehingga bumi Gaza bebas daripada cengkaman Israel.

"Kami berjanji akan menunutut keadilan di mana setiap titisan darah dibalas dengan darah", sambil menunjukkan darah anaknya yang syahid di kertas tisu.

"Saya akan terus menyimpan kertas tisu ini sebagai kenangan abadi", katanya dengan penuh bersemangat waja.

Umm Loay menjelaskan, anaknya baru berkahwin pada Jun lepas dan berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Komputer peringkat ijazah sarjana di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

"Perkataan terakhir anak saya sebelum pergi ialah: saya hendak meninggalkan ibu semoga ALLAH melindungi ibu".

Sejak menganggotai Briged al-Qassam lima tahun lalu, beliau telah bersedia menerima hakikat yang anaknya akan mati syahid satu hari nanti.

"Malah sepanjang tiga hari perkabungan, saya hanya tidur dua jam namun terasa digerakkan anak saya untuk bangun solat tahajud dan menulis eulogi kematian untuk Loay", katanya.

Eulogi itu berbunyi: "Kehidupan tiada makna, menjadi hambar tanpa kamu anakku".

Kami tidak dapat menemui isteri beliau kerana masih sedih dan enggan diwawancara.

Gambar Loay dengan pelbagai tulisan, doa dan penerangan terpampang di poster dan kain rentang sepanjang jalan serta simpang empat di setiap kawasan perkarangan rumah as-syahid itu.

Kebanyakan mereka berbicara dan mengucapkan doa akan usaha perjuangan pembebasan Gaza, Masjidil Aqsa dan Palestin daripada cengkaman Zionis Israel dengan bersolat di Masjid al-Aqsa.

Utuhnya semangat juang syuhada
Petugas media dibawa melawat seorang mangsa cedera parah, Ahid Jamal Abu Shagfa, 21, yang hancur kedua kakinya kesan serangan pengganas Israel pada Rabu (24 Oktober 2012) di Hospital As-Syifa, Bandar Gaza.

Menurut Penolong Pengarah Hospital as-Syifa, Wail Abdul Hadi Salou, remaja itu diserang oleh helikopter semasa bertempur dengan tentera pengganas Israel di kawasan Biet Lahim, Utara Gaza pada 10 pagi (waktu tempatan).

Remaja itu kini dirawat di hospital. Walaupun menderita kesakitan tetapi masih mampu untuk berkata-kata.

"Jangan ingat kehancuran kaki saya akan mematahkan semangat untuk terus berjuang menentang pendudukan rejim Zionis di seluruh bumi Palestin", katanya.

Dalam kejadian, ketika berbalas tembakan, seorang teman seperjuangannya Bernama Yasir telah mati syahid.

Kami juga dibawa menemui seorang tokoh kanan Hamas yang dua anaknya syahid iaitu Dr Mahmoud al-Zahar. Kedua orang puteranya, Muaz al-Zahar dan Hossam al-Zahar telah mati syahid beberapa tahun lalu.

Dr Mahmoud mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah menghulurkan bantuan.

Menurut sember Aman Palestin cawangan Gaza, anggaran kasar menunjukkan dalam setahun lebih kurang 1,000 pejuang Palestin gugur syahid di Gaza dan Tebing Barat.



 
Catatan: Abumohd   |   9 November 2012
 |  
 |  
Sila tunggu sebentar....