Artikel
Bukan Aku Yang Melakukan Holocaust- Ibn Abu -



 
Setiap kali orang-orang Yahudi Zionis memperingati ulangtahun peristiwa 'holocaust', mereka berusaha, seringkali dengan cara yang menyedihkan dan menjijikkan, untuk menggunakan jenayah yang amat besar terhadap kemanusiaan itu bagi mengalih perhatian daripada jenayah yang sama besarnya yang selama ini dilakukan oleh Yahudi Zionis terhadap rakyat Palestin sejak terbentuknya negara haram mereka pada tahun 1948.

Justeru, peristiwa 'holocaust' tersebut digunakan sebagai sebuah alasan besar bagi memperbolehkan satu lagi jenayah besar terhadap kemanusiaan iaitulah Israel.

Hari demi hari, Israel membuktikan kepada semua yang ia adalah sesuatu yang lebih menghampiri kepada seketul barah merbahaya - yang mana matlamat besarnya ialah untuk membunuh, menggantikan, memusnahkan dan melupuskan - daripada entiti manusia biasa yang hanya ingin terus hidup dan berkongsi kehidupan dengan orang lain.

Pembentukan Israel telah dan terus menjadi satu jenayah yang tidak henti-henti terhadap kemanusiaan berdasarkan kesan-kesan berterusan dan tidak berkesudahan yang terhasil dari jenayah itu. Kebanyakan orang-orang Yahudi tidak lagi menderita akibat peristiwa 'holocaust'. Sebaliknya, kebanyakan rakyat Palestin terus menderita teruk akibat pembentukan Israel.

Beratus-ratus, kalau pun tidak beribu-ribu, rakyat Palestin terus mati setiap tahun akibat, samada secara langsung atau tidak langsung, kehilangan tempat tinggal dan dihalau keluar dari bumi mereka sendiri bagi memungkinkan pembentukan Israel.

Mungkin rakyat Palestin bukanlah orang yang paling tertindas di bawah sinar mentari. Tetapi mereka nyata masyarakat yang paling terseksa, secara konsisten dan tanpa halangan, di dunia, terima kasih terutamanya kepada kewujudan Israel yang amat merbahaya itu.

Malah pada hari ini, ada pelarian Palestin yang mati kebuluran di Syria. Mereka-mereka ini tidak akan mati dengan kematian yang tidak terperi sakitnya serta menyeksakan sedemikian rupa sekiranya mereka dibenarkan tinggal di tanah air nenek-moyang mereka.

Tetapi Zionisme dan ketiadaan nilai manusiawi sentiasa menjadi 'oxymoron' yang berkekalan. Ideologi yang memperbolehkan pembunuhan serta perlakuan yang menyebabkan penderitaan yang tidak berkesudahan hanya kerana mereka bukan dari 'kaum yang suci' adalah ideologi jahat yang tiada tandingannya, biarpun sentiasa disokong oleh teks-teks lama agama.

Kejahatan tetap kejahatan dan tuhan yang membenarkan kejahatan dan penindasan semestinyalah tuhan palsu.

Aku, seorang Palestin berbangsa Arab dan beragama Islam, sesungguhnya akan dengan secara jujur menyertai orang-orang Yahudi dalam memperingati ulangtahun peristiwa 'holocaust' itu. Walau bagaimanapun, disebabkan Israel dan Yahudi Zionis amnya sering mengeksploitasi dan memanipulasi peristiwa yang menyedihkan itu untuk mengekalkan dan mewajarkan penindasan besar ke atas kaumku, aku rasa adalah tidak jujur samasekali untuk aku akui adanya rasa simpati dalam diriku terhadap mereka yang menggunakan kenangan pahit sesebuah peristiwa 'holocaust' sebagai alasan untuk melakukan sebuah lagi peristiwa yang sama.

Sudah tentu, sebagai seorang manusia aku rasa amat bersimpati terhadap mangsa-mangsa peristiwa 'holocaust' dulu sebagaimana simpatinya aku terhadap puluhan juta mangsa Nazi Jerman, tak kiralah orang Yahudi atau bukan Yahudi.

Dalam analisis terakhir, Nazi Jerman sebenarnya telah melakukan dua jenayah amat besar: Pertama, peristiwa 'Holocaust' (satu perbuatan, yang sebenarnya, bukanlah pembunuhan beramai-ramai yang terbesar dalam catatan sejarah - Stalin kemungkinan telah membunuh lebih ramai manusia berbanding Hitler). Dan, kedua, penubuhan Israel.

Seorang rabbi yang anti-Zionis pernah memberitahuku separuh berseloroh yang Hitler mungkin akhirnya dimaafkan di atas segala kesalahan yang dilakukannya terhadap kaum Yahudi Eropah, tetapi dia tidak akan dimaafkan samasekali kerana membantu menubuhkan negara Israel.

Aku tidak tahu kenapa Tuhan membiarkan tertubuhnya Israel. Aku juga tidak tahu kenapa yang Maha Berkuasa membiarkan berlakunya kejahatan. Mungkin tuhan mencipta Israel, dengan tujuan yang penuh bermisteri, sama sepertimana Dia membiarkan Nazi Jerman berkembang maju dan makmur, yang mungkin bermakna bahawa Israel akhirnya akan menemui nasib yang sama sepertimana apa yang akhirnya menimpa Jerman. Benar, Israel nampaknya mempunyai jangka hayat yang lebih panjang berbanding Nazi Jerman. Tetapi adakah penghujungnya akan jadi jauh berbeza?

Aku tahu subjek keagamaan bukanlah sesuatu yang mudah. Kita hanya perlu sedar bahawa ada beberapa perkara yang tidak boleh dijelaskan secukupnya dengan kata-kata. Kita manusia adalah terlalu tidak sempurna dan terlalu tidak lengkap untuk memahami perkara-perkara di luar persepsi kita.

Namun begitu, tidak diragukan yang kewujudan berterusan Israel adalah tanda utama tentang adanya kejahatan di dunia ini. Tetapi kejahatan akan akhirnya hancur dengan sendirinya dan ianya adalah terhad. Inilah sebabnya kenapa aku tidak ragu-ragu yang Israel akhirnya akan menemui jua jalan kehancuran dan kebinasaan. Aku berharap penghujung ini tidaklah terlalu jauh di masa hadapan.

Di dalam sesebuah dunia di mana segala-galanya boleh dinafikan, terdapat juga di dalamnya kuasa-kuasa yang tidak dapat dinafikan. Aku pasti kuasa-kuasa ini akhirnya akan mula memaksa hukum sejarah dan alam semulajadi memainkan peranan ke atas Israel sebagaimana yang telah mereka kenakan berbilang kali ke atas para penindas yang lain.

* 'Holocaust' ialah peristiwa pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Nazi Jerman ke atas orang-orang Yahudi dan juga bukan Yahudi dalam Perang Dunia Kedua di Eropah.

Ditulis Oleh: Khaled Amayreh



 
Sumber: Khaled Amayreh (dari Wilayah Palestin Yang Dijajah)   |   Catatan: Ibn Abu   |   7 April 2014
 |  
 |  
Sila tunggu sebentar....