Salam Aidil Fitri 2024
Artikel
Bayi Yang Mati- Roshariza -



 
Pengenalan

Indeks kematian bayi (neonatal mortality index) melambangkan kesejahteraan sesebuah negara. Kadar kelahiran yang rendah menunjukkan sistem kesihatan yang kurang memberangsangkan. Dalam erti kata lain, kelahiran yang rendah menunjukkan kadar kematian bayi yang tinggi.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), indeks kematian bayi (neonatal mortality index ; NMR) menjadi penanda aras bagi tahap kesihatan bagi sesebuah negara. Ia dapatlah didefinisikan sebagai bilangan kematian bayi (berumur 0-27 hari) per 1000 kelahiran yang hidup.

Dalam negara bergolak Palestin, sebuah persatuan bukan kerajaan (NGO) telah menjalankan satu kajian terhadap kadar kematian bayi baru lahir. Data ini amat berguna bagi mengukur kelangsungan hidup bayi sekaligus menjadi kayu ukur kepada kesejahteraan negara Palestin. Kajian ini dilakukan terhadap pelarian Palestin di Semenanjung Gaza.

Kajian ini menunjukkan bilangan kematian yang ketara dari 20.2/1000 kelahiran (2008) kepada 22.4/1000 kelahiran (2013). Ironinya, sejak tahun 1960 sehingga tahun 2008, bilangan kematian bayi telah menunjukkan penurunan sebanyak 84% iaitu 127/1000 kelahiran kepada 20.2/1000 kelahiran.

Setelah beberapa dekad lamanya, Palestin telah berjaya mengurangkan bilangan kematian bayi-bayi mereka. Namun, sejak tahun 2008-2013 kematian bayi telah pun meningkat hampir 10%. Persoalannya, mengapa ini terjadi?

Sebab-kesan-akibat.

Punca utama kepada peningkatan ini terjadi sejak terbinanya tembok pemisah di sempadan Gaza. Peperangan demi peperangan pula menambahburukkan lagi keadaan.

Ini memberi kesan terhadap bilangan kelahiran di sini. Tiga faktor risiko yang dapat dikenalpasti adalah :
a) Perkahwinan antara saudara terdekat.
b) Kelahiran bayi pra-matang
c) Kehamilan berisiko tinggi.

a)Perkahwinan antara saudara terdekat

Saudara yang dimaksudkan disini adalah perkahwinan yang melibatkan sekurang-kurangnya tiga generasi ; perkahwinan dari sepupu sehingga tiga pupu. Ini kerana perkahwinan ini mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat anak yang mempunyai kecacatan genetik, secara spesifiknya kecacatan kongenital anomali.

Kecacatan ini diwarisi daripada ibu bapa yang mempunyai pertalian darah yang rapat. Secara teorinya, bayi akan mempunyai risiko yang tinggi untuk mewarisi genetik yang resesif (gen yang lemah dan mempunyai kod penyakit), lalu akan menerima kecacatan gen atau kecelaruan kromosom didalam DNA mereka. Dengan ini, bayi mengalami sama ada kecacatan fizikal atau gangguan fungsi metabolisma didalam tubuh. Sesetengah kecacatan mereka amat serius sehingga boleh mengancam nyawa.

b)Kelahiran bayi pra-matang.
Bayi pra-matang adalah bayi yang lahir sebelum kandungan mencapai umur 37 minggu. Kelahiran ini mempunyai risiko kematian yang tinggi. Ini kerana mereka terdedah kepada jangkitan kuman serta mengalami komplikasi seperti kekurangan zat dan oksigen. Sokongan alat perubatan amatlah penting bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka.

c)Kehamilan berisiko tinggi.
Kehamilan berisiko tinggi merujuk kepada kehamilan yang boleh mengancam kehidupan ibu serta bayi didalam kandungan. Komplikasi yang biasa dialami oleh ibu mengandung di Palestin adalah darah tinggi, kencing manis serta anemia. Selain itu, jarak kelahiran kurang dari dua tahun juga menjadi salah satu sebab kematian bayi.

Pandangan dan cadangan.

Setelah menilai sebab-kesan-akibat, maka dapatlah disimpulkan disini bahawa, rentetan daripada tekanan Israel telah memberi kesan yang buruk kepada kelangsungan hidup generasi baru Palestin.

Banyak perkara perlu diperbaiki dan ditambahbaik untuk memperkukuhkan prasarana supaya kadar kematian bayi dapat dikurangkan. Salah satunya adalah dengan menaiktaraf jabatan obstetrik da penjagaan bayi. Ini kerana, di Gaza, kebanyakan kelahiran dikendalikan dengan peralatan dan kemahiran yang minima.

Penambahan peralatan seperti inkubator bayi, peralatan sokongan untuk penyusuan serta ubat-ubatan yang boleh menyelamatkan nyawa seperti surfactant amatlah diperlukan dengan kadar segera. Selain itu, amalan dalam kawalan jangkitan kuman juga amat penting untuk diperkasa supaya jangkitan dalam kalangan bayi baru lahir dapat dikawal.

Justeru, sebagai saudara seagama, marilah kita bersama-sama membantu supaya generasi baru ini dapat meneruskan perjuangan menentang kezaliman dan ketidakadilan yang telah lama bersarang didalam negara anbiya, Palestin. Semoga Allah memberkati kita semua.Amin.



 
Sumber: Http://journals.plos.org/plosone/article?id=10.1371/journal.pone.0135092 Increasing Neonatal Mortali   |   Catatan: ROSHARIZA   |   19 Ogos 2017
 |  
 |  
Sila tunggu sebentar....