Artikel
Al-Aqsa Terus Diceroboh
Pencerobohan baru yang dilakukan oleh Rejim Zionis ke atas Masjid al-Aqsa dan sekitarnya ialah dengan cara menyempurnakan penggalian terowong baru di bawah pagar-pagar Masjid al-Aqsa yang mana dapat meruntuhkannya.




Mudir Persatuan Al-Aqsa, Syeikh Farid Al-Haj Yahya menegaskan pihak penjajah Yahudi telah bekerja siang dan malam secara berterusan menggali terowong yang tersembunyi dari pandangan umum. Jabatan Arkeologi Israel telah menghulurkan bantuan dan telah berjaya membeli sebuah kedai kecil melalui perantaraan broker dengan harga USD60. Kedai tersebut terletak di jalan Al-Wadi berhadapan dengan Kedai Makan Al-Buraq berdekatan dengan Dinding Al-Mubakka. Ia merupakan tempat bersembunyi bagi menjalankan kerja-kerja menggali terowong dari dalamnya. Terowong tersebut digali dengan cepat apabila saja kedai tersebut ditutup pintunya. Kerja-kerja penggalian tersebut masih berterusan bermula di Jalan Al-Wadi memanjang terus dan menghala ke Pintu As-Silsilah sehingga sampai ke pintu Masjid al-Aqsa. Penggalian ini dilakukan di siang hari oleh Yahudi di samping mereka berjaga-jaga agar tidak terbongkar rahsia mereka.

Terowong yang digali oleh Yahudi tersebut bukan hanya satu bahkan terdapat banyak terowong digali dengan menggunakan cara yang sama. Terdapat pelbagai pertubuhan Yahudi yang membiayai penggalian tersebut dengan kerjasama kerajaan dan Jabatan Arkeologi Israel. Untuk memalingkan dan mengelirukan masyarakat antarabangsa dari membincangkan isu percerobohan terhadap Masjid al-Aqsa, pihak Yahudi menimbulkan pelbagai isu lain agar mereka dapat meneruskan perancangan pencerobohan mereka tersebut.

Khalil At-Tafkajy pakar dalam Isu Penempatan Penduduk dan merupakan Mudir Bahagian Pemetaan dalam Persatuan Pengajian Arab menegaskkan: Sesungguhnya penjajah Yahudi sedang merancang mahu mendirikan bandar terowong di bawah Bandar Al-Quds yang dijajah. Pembinaan tersebut bertujuan untuk menguasainya dan mendirikan Kuil Yahudi di Masjid Al-Aqsa. Penjajah Yahudi telah berjaya membina terowong besar yang ketinggiannya sampai 8 meter. Ia telah melemahkan struktur binaan Masjid Al-Aqsa. Sekarang Rejim Yahudi sedang membuat persediaan untuk membuka dan merasmikan terowong yang baru setelah perasmian terowong yang lama pada tahun 1998m.

Rejim Yahudi Zionis mengambil kesempatan di atas keadaan masyarakat Palestin sekarang untuk menyiapkan kerja-kerja penggalian dan merealisasikan mimpi mereka. Apatah lagi satu kajian dikeluarkan kepada pihak Isarel yang menyatakan bahawa Al-quds adalah milik Yahudi semata-mata. Dengan itu, mereka menganggap amat penting menghapuskan kewujudan bangsa Arab di Al-Quds. Sekarang kita melihat, Rejim Zionis telah menyekat dan melarang penduduk Al-Quds dari menambah dan memakmurkan Masjid al-Aqsa. Mereka juga menghalau penduduk sekitarnya supaya meninggalkan rumah-rumah dan kedai-kedai mereka. Bandar Al-Quds juga sentiasa dikepung dan berada dalam sekatan.

Mengikut At-Taftajy: Pihak Yahudi terus meluaskan Bandar Al-Quds sejak menjajahnya. Pada tahun 1967 keluasan bandar Al-Quds hanya 6.5 kilometer persegi dan apabila ia dijajah dan dikuasai Yahudi keluasannya kini mencecah 72 kilometer persegi yang didiami oleh penduduk. Pihak Yahudi telah menguasai kawasan Lapang Al-Buraq dan tempat suci serta merubuhkannya bagi mendirikan perkampungan Yahudi. Mereka juga telah menguasai rumah-rumah di perkampungan orang Islam. Pihak Israel hari ini telah merampas lebih kurang 30% kawasan Bandar Al-quds dan mendirikan 5 kawasan penempatan mereka. Di samping itu mereka juga telah membina 15 penempatan lain di kawasan subur yang sesuai untuk aktiviti pertanian. Sekarang ini mereka berusaha menghalau penduduk bandar Al-Quds dengan cara mengenakan cukai yang tinggi yang diwajibkan ke atas mereka. Melalui pembinaan Tembok Pemisah Yahudi, mereka berjaya menempatkan golongan Yahudi dengan kehidupan yang selesa di bandar Al-Quds.

Usaha pihak Rejim Israel tidak terhenti setakat itu sahaja, bahkan mengikut At-Taftajy di sana terdapat satu penyeliaan secara terus dari pihak atasan kerajaan haram Israel bagi menpercepatkan pelaksanaan Projek Israel di Bandar Al-Quds. Antara yang paling merbahaya ialah pertambahan bilangan Yahudi di Bandar Al-Quds iaitu lebih 88% berbanding bilangan orang Arab Palestin yang hanya 12% sahaja. Ini menunjukkan Yahudi telah menguasai bandar tersebut, bahkan setakat ini mereka telah menguasai 70 buah rumah di perkampungan Islam di mana bilangan penduduknya melebihi 24,000 orang. Perkembangan ini menuntut satu tindakan diambil oleh umat Islam seluruh dunia untuk menyekat sebarang pencerobohan terhadap Masjid al-Aqsa dan bandar sekitarnya.


18 Mac 2007
 
 |  
 |  
Sila tunggu sebentar....