Salam Aidil Fitri 2024
Artikel
AKAL YANG MISKIN- Roshariza -



 
PENGENALAN

Kemiskinan tegar adalah suatu bentuk keganasan yang paling parah(Mahatma Ghandi). Sungguhpun begitu, kemiskinan boleh dibendung kerana miskin papa bukanlah sesuatu yang tabii. Ia berpunca daripada tindakan manusia dan hanya manusia sahajalah yang boleh mengubahnya (Nelson Mandela).

Bagi mengurangkan jurang kemiskinan, bank dunia menyarankan supaya pendidikan diperkukuhkan. Ini kerana pendidikan akan meningkatkan kadar produktiviti negara serta menyokong pertumbuhan ekonomi. Dengan ini, Israel yang kaya dengan strategi, menggunakan isu ini untuk menekan penduduk Palestin.

STRATEGI ISRAEL

Dalam buletin sosioekonomi tahun 2007 yang dikeluarkan oleh The Alternative Information Center AIC, Israel telah menggunapakai tiga strategi utama untuk menghalang pendidikan di bumi Palestin iaitu mengurangkan infrastuktur pendidikan, isu keselamatan dan pembinaan tembok pemisah.

STRATEGI PERTAMA

Bangunan sekolah merupakan infrastruktur utama dalam pendidikan. Sekolah sedia ada banyak dimusnahkan. Di Palestin, gambaran sekolah bukanlah seperti di kebanyakan negara maju. Bangunan mereka hanyalah tinggal batu-bata yang berserakan dengan cerucuk besi yang membahayakan.Tambahan pula, kekurangan tanah disebabkan oleh rampasan pihak Israel, menjadikan tanah untuk pembinaan bangunan sekolah terhad. Juga, kekangan belanjawan bagi pembinaan infrastruktur sekolah juga mengurangkan jumlah sekolah sedia ada. Kesan daripada kemusnahan sekolah awam, tanah yang terhad dan kekurangan belanjawan sudah cukup untuk memusnahkan masa depan anak-anak kecil Palestin.

STRATEGI KEDUA

Selain itu, isu keselamatan juga menjadi isu utama di dalam pendidikan. Seharusnya anak-anak berada dalam keadaan selamat ketika di sekolah mahupun perjalanan pergi dan pulang dari sekolah. Di negara bergolak ini, keselamatan anak-anak bolehlah diibaratkan seperti berada di hujung tanduk. Memandangkan kebanyakan kelas disewa, kebanyakan kelas tidak memenuhi syarat-syarat keselamatan yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Palestin. Ruang yang sempit tanpa tingkap, tidak mempunyai pemanas dan alat pemadam api, tangga dan cerucuk besi yang boleh mengancam nyawa adalah pemandangan biasa di sini. Askar Israel juga kerap menjadikan sekolah dan 'sekolah sewa’ sebagai sasaran gas pemedih mata. Sudah menjadi kebiasaan guru-guru sekolah untuk mengutip tin-tin gas pemedih mata terpakai. Keadaan yang sebegini, sudah tentu memberikan ketakutan kepada kanak-kanak kecil yang baru mengenal erti sebuah kehidupan dunia.

STRATEGI KETIGA

Akhir sekali, tembok pemisah merupakan penghalang utama kepada murid dan guru untuk sampai kepada pendidikan. Tembok ini menjadikan perjalanan ke sekolah bertambah jauh. Kesannya, ibu bapa terpaksa berbelanja lebih untuk pengangkutan anak-anak mereka ke sekolah. Murid dan guru juga harus mendapatkan permit bagi melalui pondok kawalan. Permit ini mesti diperbaharui setiap tiga bulan. Namun begitu, kerapkali permit ini tidak dapat diperbaharui. Hasilnya, kanak-kanak ini hilang masa pembelajaran. Guru juga seringkali tidak dapat memenuhi tugasnya sebagai seorang guru. Kesudahannya, anak-anak Palestin tidak mendapat hak mereka untuk mendapatkan pendidikan secukupnya.

HASIL STRATEGI ISRAEL

Ketiga-tiga usaha Israel untuk menghalang pendidikan nampaknya telah berjaya meluaskan jurang kemiskinan tegar. Buktinya,jurnal tahun 2013 mendedahkan, 79.5% penduduk di timur Palestin hidup dibawah paras kemiskinan. Jika strategi jahat Israel ini tidak segera dibanteras, maka tidak hairanlah jika penduduk miskin di Palestin meningkat. Disinilah kita nampak bahawa miskin akal akan membawa kepada miskinnya harta. Lalu, bersama-samalah kita membantu warga Palestin untuk memecahkan tembok kelaparan dan kesengsaraan dengan memberi mereka secebis pengetahuan dan pendidikan.



 
Sumber: 1)Alan Bb.k & Jitka M (2003). Education, Poverty And Terrorism: Is There A Causal Connection? The Jo   |   Catatan: ROSHARIZA   |   21 November 2016
 |  
 |  
Sila tunggu sebentar....