Artikel
AIR YANG SAKIT- Roshariza -



 
Ribuan insan boleh hidup tanpa cinta. Namun bukan air. Menikmati bekalan air yang berkualiti menjadi satu nikmat yang paling besar dalam hidup. Tetapi tidak di Palestin. Bekalan air yang terbatas di bumi Anbiya ini menjadi dugaan terbesar bagi rakyatnya.

Air mempunyai kaitan yang rapat dengan kesihatan manusia. Air yang tidak selamat dan kotor menjadi sarang bagi penyakit kepada manusia. Di sini, kita akan menelusuri faktor-faktor yang membawa kepada punca penyakit bawaan air di negara penuh berkat ini.

Faktor utama kekurangan bekalan air adalah kurangnya taburan hujan di bumi Palestin. Sebagai contoh, di Gaza hanya mempunyai taburan hujan dari 33% ke 69%. Negara Israel mengambil kesempatan ini dengan memburukkan lagi keadaan dengan memusnahkan infrastruktur bekalan air. Tasik, takungan air, perigi dan segala jenis infrastruktur air habis dirobohkan dan diruntuhkan.

Pembinaan semula infrastruktur dan sistem pembentungan tidak dapat dijalankan kerana kekurangan peruntukan kewangan. Ini ditambah pula dengan pencemaran air yang melebihi piawaian antarabangsa. Kajian yang dijalankan mendapati bahawa 57% daripada perigi dicemari dengan unsur-unsur nitrat, klorida dan fluoride. Ini amat berbahaya kepada kesihatan bayi dan kanak-kanak.

Kesan daripada faktor-faktor diatas menyebabkan catuan air serta ketiadaan sambungan kepada air sejauh 50 km. Sistem pembentungan juga tidak berkesan. Limpahan kumbahan seringkali terjadi.Keadaan ini menyebabkan keadaan sekeliling menjadi kotor dan tidak selamat untuk kesihatan. Penyakit bawaan air seperti cacing dan protozoa menjadi ancaman kepada kanak-kanak Palestin.

Kajian yang dijalankan di Universiti Palestin mendapati bahawa sekurang-kurangnya terdapat tujuh parasit iaitu Entamoeba histolytica (8.2-18.2%), Enterobius vermicularis (15.6-28.9%) dan selebihnya ialah Giardia lamblia, Ascaris lumbricoides, Strongyloides stercoralis, spesis Taenia dan Ancylostoma duodenale (Sami Bdir1& Ghaleb Adwan).

Dalam jangka masa panjang, jangkitan ini akan mengurangkan penyerapan zat makanan lalu menjurus kepada penyakit anemia (kekurangan sel darah merah). Akhirnya tumbesaran kanak-kanak akan terbantut dan paling teruk boleh menyebabkan kematian.

Banyak projek dijalankan bagi pemulihan bekalan air bersih dan sistem pembentungan di Palestin. Di antaranya adalah projek MAIA (tahun 2009) yang dikelolakan oleh Kesatuan Kanak-kanak Timur Tengah ( Middle East Children's Alliance atau MECA). Selain itu, Tabung untuk Kanak-KanakPersatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sentiasa mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini. Kejayaan terbesar organisasi ini adalah pembinaan loji penyalingan air laut (tahun 2014) yang dapat membekalkan 6000 meter padu air sehari. Ini dapat memberi manfaat kepada seramai 75,000 penduduk di Gaza.


Sama-samalah kita menghulurkan bantuan kepada penduduk Palestin demi kesejahteraan bersama.

Rujukan :
Sami Bdir1& Ghaleb Adwan. 2010.Prevalence of intestinal parasitic infections in Jenin Governorate, Palestine: a 10-year retrospective study. Asian Pacific Journal of Tropical Medicine. 745-747.



 
Catatan: ROSHARIZA   |   6 Mac 2016
 |  
 |  
Sila tunggu sebentar....