Artikel
'Kehancuran' Israel Yang Macamana?- Ibn Abu -



 
Apabila, sebagai tindakbalas terhadap ancaman kemungkinan berlakunya perdamaian dalaman dan perpaduan Palestin, kerajaan Israel menggantungkan "rundingan" dengan Pertubuhan Pembebasan Palestin pada 24 April (lima hari sebelum mereka mengakhiri rundingan dalam apa jua keadaan sekalipun), pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah mengeluarkan sebuah kenyataan yang menegaskan: "Daripada memilih keamanan, Abu Mazen telah membentuk satu pakatan dengan sebuah organisasi pengganas yang menyeru ke arah kemusnahan Israel."

Dalam satu siri penampilan media yang berkaitan, Netanyahu menegaskan berulangkali tema "kemusnahan Israel" sebagai satu cara untuk menyalahkan Palestin terhadap kegagalan pusingan terbaru "proses damai" yang sememangnya telah dijangka.

Penggunaan melampau bagi julukan "pengganas" telah diketengahkan dalam dua buah peristiwa yang tak masuk dek akal baru-baru ini - pelabelan rejim tentera Mesir terhadap Ikhwanul Muslimin, yang telah memenangi semua pilihanraya Mesir sejak penggulingan Hosni Mubarak, sebagai sebuah organisasi "pengganas" serta pelabelan oleh pihak berkuasa de facto Ukraine, yang mendapat kuasa secara haram dengan merampas bangunan kerajaan di Kiev, terhadap kelompok yang menentang mereka dengan merampas kembali secara haram bangunan kerajaan di timur Ukraine sebagai "pengganas."

Dalam kedua-dua kes tersebut, kelompok yang telah menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi telah melabelkan mereka yang membantah rampasan kuasa mereka itu sebagai "pengganas."

Adalah semakin difahami yang perkataan "pengganas", yang tidak mempunyai sebarang definisi yang jelas, begitu subjektif sehingga tidak mempunyai sebarang makna yang nyata dan ianya sering disalahgunakan oleh pihak kerajaan dan juga lain-lain pihak tertentu dengan menggelar sesiapa atau apa sahaja yang tidak mereka sukai sebagai "pengganas" dengan harapan untuk memburukkan imej musuh-musuh mereka, dan dengan itu menghalang serta mengelakkan timbulnya sebarang pemikiran dan perbincangan yang rasional. Ini seringkalinya bertujuan untuk mewajarkan tingkahlaku mereka yang menyalahi undang-undang dan tidak bermoral.

Dakwaan Netanyahu yang Hamas "menyeru ke arah kemusnahan Israel" juga memerlukan analisis yang rasional.

Beliau bukan sahaja pihak yang bersalah dalam hal ini. Media arus perdana di Barat juga lazimnya menyertakan kata-kata "berikrar terhadap kemusnahan Israel" setiap kali Hamas disebut, seolah-olah ia adalah sebahagian daripada nama Hamas.

Dalam dunia sebenar, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan "kemusnahan Israel"? Tanah? Rakyat? Rejim "keperkasaan-kaum-agama" Zionis?

Tidak ada keraguan yang hampir semua rakyat Palestin - dan barangkali masih ada lagi sejumlah besar orang asli Amerika - berharap yang penjajah asing tidak pernah tiba di tanahair mereka bagi "membersihkan" kaum mereka serta merampas tanah mereka, dan mungkin juga ada yang berbaring dalam keadaan jaga sambil berangan-angan yang mereka mungkin, entah bagaimana, mampu memutarkan jam ke belakang atau menukar sejarah.

Walau bagaimanapun, dalam dunia sebenar, Hamas tidak samasekali berada dalam kedudukan yang bersedia untuk menenggelamkan wilayah Israel ke dasar Laut Mediterranean atau untuk menghapuskan penduduknya ataupun bagi memaksa rejim Israel untuk menjadi sebuah negara demokratik sepenuhnya yang berikrar untuk melaksanakan dasar hak dan maruah yang sama rata untuk semua yang tinggal di sana. Kemungkinannya, konsep sebuah negara dua bangsa yang amat Israel takutilah yang berlegar dalam fikiran Netanyahu apabila beliau bercakap mengenai "kemusnahan Israel."

Untuk tujuan propaganda, "kemusnahan" bunyinya kurang munasabah dan wajar jika dibandingkan dengan "demokrasi" walaupun seseorang itu bercakap mengenai perkara yang sama.

Dalam dunia sebenar, Hamas telah lama menjelaskan yang, walaupun pandangannya terhadap rangka "proses damai" yang dimonopoli oleh Amerika adalah sesuatu yang sia-sia dan membuang masa, ia tidak pernah membantah usaha PLO bagi mencapai persetujuan dengan Israel dalam usul kewujudan dua buah negara berasingan, hanya dengan syarat jika, untuk diterima dan dihormati oleh Hamas, mana-mana perjanjian yang dicapai perlulah dikemukakan kepada rakyat Palestin dan diluluskan oleh mereka dalam sebuah referendum.

Dalam dunia sebenar, wawasan Hamas (sepertimana juga wawasan Fatah) terhadap kehidupan yang aman damai dalam sebuah negara Israel-Palestin adalah lebih mirip kepada "konsensus antarabangsa" dalam mentakrifkan maksud kedamaian yang berpanjangan, dan begitu juga dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB yang berkaitan, berbanding dengan wawasan Israel.

Tatkala wawasan Fatah dan Hamas kian menjadi satu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun titik pemisah utama di antara mereka ialah desakan Hamas (yang selaras sepenuhnya dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB yang berkaitan) yang menuntut Israel agar menarik diri dari seluruh wilayah Negara Palestin sebagaimana yang ditakrifkan oleh resolusi Perhimpunan Agung PBB pada 29 November 2012, yang mengiktiraf status negara Palestin sebagai "wilayah Palestin yang dijajah sejak 1967," berbanding dengan kesanggupan Fatah yang lebih bertolak-ansur dalam mempertimbangkan pertukaran tanah yang sama dalam saiz dan nilai.

Selepas memenangi pilihanraya Palestin yang lalu dan selepas tujuh tahun memikul tanggungjawab bagi mentadbir Gaza dalam keadaan yang sangat sukar, Hamas telah menjadi sebuah parti yang agak "sederhana", sentiasa bertungkus-lumus dalam usaha mengekang kumpulan-kumpulan yang radikal dan menghalang mereka daripada menembak roket berpandu ke selatan Israel, sesuatu yang mana kerajaan Israel mengutuk secara terbuka tetapi mengalu-alukannya secara rahsia, dan sambil itu sering menghasut agar pejuang Palestin bertindakbalas terhadap keganasan mereka yang jauh lebih merbahaya dan tindakbalas ini mereka cuba jadikan bukti, yang kononnya Palestin sukakan kekerasan, bagi mewajarkan kedegilan mereka sendiri.

Mantera "kemusnahan Israel" tajaan Netanyahu tidak sepatutnya diambil peduli, samada oleh kerajaan Barat atau oleh mana-mana manusia yang tahu berfikir.

Sudah tiba masanya untuk media arus perdana Barat berhenti mengitar semula propaganda yang tidak wajar - dan benar-benar merosakkan - dan menyesuaikan laporan mereka dengan realiti, dan sudah tiba masanya bagi kerajaan Barat untuk berhenti memburukkan Hamas sebagai alasan untuk tidak mengambil sebarang tindakan yang membina bagi menamatkan sebuah kezaliman yang kini telah berlanjutan selama hampir 47 tahun.

John V. Whitbeck adalah seorang peguam antarabangsa yang telah terlibat dalam memberikan khidmat nasihat kepada kumpulan rundingan Palestin dalam rundingan dengan Israel.



 
Sumber: John V. Whitbeck   |   Catatan: Ibn Abu   |   14 Mei 2014
 |  
 |  
Sila tunggu sebentar....